Belanjawan diharap terhindar rasuah dengan adanya PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keberadaan PAS dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diharap dapat menghindarkan pemerintahan ini daripada rasuah dan segala elemennya, demikian kata Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar.

- Advertisement -

Sekali gus juga katanya, memberi jaminan kepada perbelanjaan negara dari sebarang ketirisan dan pembaziran di mana ia diyakini dapat dijayakan sebagaimana kemampuan PAS menerapkan kerajaan tanpa rasuah di Kelantan selama lebih 30 tahun.

“(Selama tempoh itu) tidak seorang pun pemimpin PAS terpalit dengan rasuah. Dengan rating dari Jabatan Audit Negara pada taraf 5 bintang,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily, hari ini.

Beliau juga menyifatkan kementerian di bawah Ahli Parlimen PAS adalah antara paling mendapat pencapaian ketika ini di mana seharusnya mengekalkan momentum untuk menjadi lebih baik lagi ke hadapan.

Kerana menurutnya, segala kesungguhan yang diserlahkan tersebut adalah semata-mata kerana PAS mencari keberkatan dan keredhaan Allah menerusi pemerintahan ini sebagai matlamat di mana juga mendatangkan manfaat untuk semua.

Beliau mewakili PAS Negeri Sembilan turut merakamkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, semalam.

“Sekarang tiba masanya Kerajaan Perikatan Nasional berkhidmat sebaik mungkin dan berbelanja sehemah mungkin dalam menghadapi ekonomi yang tidak menentu dengan situasi pandemik COVID-19 kini.

“Cabaran ekonomi mendatang dilihat lebih sulit dengan pasaran tempatan dan dunia tidak menentu serta kadar pertumbuhan ekonomi juga sangat perlahan. Bagaimana untuk menarik pelabur luar juga harus menjadi agenda dalam setiap kementerian.

“Fokus juga harus diberikan kepada segmen pembuatan untuk menjadikan Malaysia negara pengeluar, bukan hanya pengguna. Penerokaan segmen kesihatan harus kita pelopori bersama negara kuasa kesihatan baharu,” ujarnya.

Beliau merujuk pencapaian Turki dan Rusia serta China dan Taiwan yang berjaya muncul serta berada sebagai kuasa kesihatan baharu dunia pada masa kini dan menjadi pelopor penerokaan segmen bidang penting tersebut.

Menyentuh tindakan 13 Ahli Parlimen Pembangkang menolak Belanjawan itu, Badzli berkata bahawa rakyat boleh menilai mereka dan agenda dibawa iaitu sebenarnya mengkhianati amanah rakyat dan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -