Daulat Tuanku Raja-raja Melayu

RAJA-raja Melayu adalah pewaris Tanah bertuah ini. Duli-duli Tuanku adalah payung bagi rakyat. Di bawah teduhan keadilan dan kebijaksanaan Bagindalah rakyat menumpang teduh dari panas dan hujan.

Tuanku juga payung agama, melindungi dan mempertahankan Islam dari mana-mana anasir yang mengancam. Islam dan bangsa Melayu menjadi kukuh dan perkasa, subur dan mulia di bawah kebesaran Tuanku.

Kedaulatan Tuanku kerana dijunjung dan didukung pimpinan Melayu yang taat dan setia zaman berzaman Jika yang junjung dan dukung Tuanku pengkhianat dan durhaka, kedudukan Tuanku terancam manakala tanah bertuah ini pasti bergelora dan tidaklah aman lagi. Tuanku hanya akan bersemayam aman di bawah pimpinan yang baik, bertakwa dan berakhlak. 

Advertisement

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:

 “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri seorang Raja, maka Dia menjadikan bagi Raja itu Menteri yang jujur. Jika Raja itu lupa, maka ia (Menteri) akan mengingatkannya. Jika ia ingat, maka Menteri itu akan membantunya. Apabila Allah menghendaki keburukan pada diri seorang Raja, maka Allah menjadikan baginya Menteri yang tidak baik (su’). Jika ia lupa, maka ia (Menteri) tidak akan mengingatkannya. Jika ia ingat, maka Menteri itu tidak akan membantunya.”

(HR Abu Dawud)

Kesetiaan pada Raja dan negara adalah sumpah keramat rakyat, Raja dan rakyat berpisah tiada. Kami hidup bersama Tuanku demi Allah dan Rasul-Nya.

Daulat Tuanku, terus payungi kami yang taat dan mempertahankan Istana dengan jiwa dan raga kami. Teruslah Tuanku dipandu pimpinan yang ikhlas dan jujur bukannya mereka yang menangguk di air keruh, yang bersama kaduk yang sentiasa mencuri peluang untuk melonjak naik junjung.

Daulat Tuanku Raja-raja Melayu.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/10/2020