Tindakan Anwar pentingkan diri, merugikan rakyat

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Wangsa Maju kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai gimik untuk menonjolkan dirinya sebagai pengganti Perdana Menteri.

Yang Di-Pertua (YDP) PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud ketika mengulas isu ini menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai mementingkan diri dan tidak menguntungkan rakyat.

Advertisement

“Saya melihat ini sebagai usaha yang berterusan oleh pembangkang untuk memberi gambaran negatif kepada kerajaan yang memiliki majoriti tipis di Parlimen.

“Hakikatnya, ini juga ialah usaha terancang oleh DAP yang tidak senang dengan kepimpinan Melayu-Islam kini yang telah banyak pencapaian terbaik dalam mengurus negara,” tegasnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Rani berpandangan darurat kesihatan yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mampu memberi fokus kepada kerajaan untuk menangani krisis Covid-19 tanpa gangguan ahli politik yang bertindak secara tidak rasional.

“Apa-apa pun, kita serah pada kebijaksanaan YDPA dan Majlis Raja-Raja untuk memutuskan perkara ini selepas persidangan yang akan diadakan dalam masa terdekat,”ujarnya lagi.

Beliau juga melihat pelaksanaan darurat kesihatan memberi lebih masa dan peluang kepada parti-parti politik membuat persediaan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – HARAKAHDAILY 25/10/2020