Tidak perlu bimbang jika darurat diisytiharkan

Persepsi salah mengaitkan darurat kali ini dengan keselamatan perlu dibetulkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat bakal diumumkan bukan sepertimana dahulu ketika negara berdepan keganasan Komunis 1948 atau kemungkinan perang Ganyang Malaysia 1964, mahupun rusuhan kaum 13 Mei 1969.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan, darurat mungkin diisytiharkan kali ini berikutan situasi luar biasa atau unprecedented situation dihadapi negara iaitu cabaran COVID-19 yang memerlukan langkah luar biasa dilakukan.

Beliau menyangkal persepsi salah diletuskan pihak tertentu yang cuba dijadikan satu polemik atau ketakutan kepada rakyat termasuk dikaitkan dengan ancaman keselamatan, pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan perintah berkurung.

“Wabak COVID-19 ni luar biasa. Ia perlu kepada cara yang berbeza dan lebih kukuh. Dan Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan) iaitu pengisytiharan darurat memang patut digunakan.

“Dalam satu kes mahkamah iaitu kes Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia, mahkamah tertinggi waktu itu iaitu Majlis Privi buat keputusan bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membolehkan darurat diisytiharkan dalam skop situasi yang luas.

“Iaitu termasuklah perkara-perkara seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, banjir dan jangkitan penyakit. Jadi ini bukan satu yang ganjil,” ujarnya dalam soal jawab Berita Harian yang disiarkan hari ini.

Seru beliau, orang ramai tidak perlu berasa khuatir sebaliknya kekal tenang dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana sebenarnya darurat boleh diisytihar lebih awal yakni ketika negara memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Namun pada waktu itu katanya, fokus diberikan kepada penyelesaian masalah yang lebih besar iaitu memutuskan rantaian jangkitan dan menyediakan infrastruktur kesihatan serta penguatkuasaan undang-undang.

Di mana terangnya, waktu itu Akta 342 iaitu Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 digunakan kerana ia mempunyai ruang perundangan untuk pelaksanaan arahan-arahan yang perlu, tetapi tidak sesuai untuk jangka panjang.

Pun begitu jelas beliau, Akta 342 terhad kepada tujuan ‘mengawal penyakit’ iaitu untuk menangani isu-isu pengawalan penyakit dalam skala kecil atau biasa seperti yang dilaksanakan selama ini terhadap denggi, tibi, dan lain-lain.

“Sedangkan usaha mengatasi COVID-19 melibatkan perkara lebih luas seperti kebajikan rakyat, penyediaan kemudahan kesihatan, sistem sokongan kepada anggota barisan hadapan, agihan ekonomi, kawalan sempadan, kelancaran pergerakan dan seumpamanya.  

“Semua ini di luar skop Akta 342. Jadi kita perlukan asas perundangan yang lebih komprehensif,” ujarnya mewajarkan keperluan darurat diisytiharkan atas keadaan luar biasa diperlukan dalam menangani luar biasa pandemik COVID-19 ini.

Beliau yang juga membetulkan persepsi bahawa darurat bermakna perintah berkurung dalam tempoh waktu tertentu, sedangkan dalam Perlembagaan tidak ada peruntukan yang mengaitkan darurat dengan perintah berkurung.

Menurutnya, persepsi mengenai perkara yang berlaku dalam pengalaman silam itu kerana ketika itu sememang darurat berkaitan dengan keselamatan di mana memerlukan perintah berkurung kerana situasi tegang dan tidak selamat.

“Perintah berkurung adalah mekanisme untuk menguatkuasakannya agar nyawa rakyat terjaga. Mungkin juga ramai yang tidak sedar bahawa tanpa pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 pun, kita sebenarnya terpaksa berkurung. Jika tiada PKP sekali pun, ramai yang memilih untuk berkurung di rumah.

“Keluar jika ada keperluan sahaja. Jadi tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Jika diisytiharkan darurat arahan dan peraturan seperti PKP dapat diselaraskan melalui kuasa darurat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ia juga berbeza dari peristiwa 13 Mei yang melibatkan rusuhan kaum kerana wujud prejudis mendalam hingga berlaku ancaman nyawa berbentuk pembunuhan dan keganasan, serta negara berada dalam keadaan tidak aman.

Malah, ketika itu pihak di barisan hadapan ialah tentera dan polis, namun semua ini tidak berlaku kali ini kerana ancaman sedang dihadapi adalah wabak COVID-19 yakni usuh yang tidak nampak dan pasukan barisan hadapan adalah petugas kesihatan.

“Tapi semua rakyat sebenarnya berperanan besar untuk memutuskan rantaian jangkitan. Ini peperangan hari ini. Jadi tidak perlulah dibayangkan, jika diisytiharkan darurat, tentera dan polis akan meronda di sana sini dan sekatan jalan di mana-mana.

“Penguatkuasaan pergerakan akan dibuat ikut keperluan, sebagaimana yang berjalan sekarang,” ujar Felo Penyelidik (Undang-Undang Dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -