80 hilang tempat tinggal

19 buah kediaman Desa Subang Perantau dirobohkan
Kediaman salah seorang penduduk Desa Subang Perantau 2, Puan Rosnani Abdullah, 57 yang telah dirobohkan hari ini. Anak beliau yang memegang sepanduk menunjukkan bantahan kepada PBT.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Hampir 80 orang penduduk Desa Subang Perantau II kehilangan tempat tinggal setelah kediaman mereka dirobohkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelempas.

Kediaman yang mereka diami setelah berpuluh tahun dirobohkan ekoran penduduk telah membinanya di atas tanah rizab sungai berkenaan.

- Advertisement -

Dilaporkan, sebanyak 19 buah rumah terjejas dibina di atas 16 tanah lot berlokasi bersebelahan Sungai Pelempas, Shah Alam.

Menurut salah seorang penduduk yang terjejas, Rosnani Abdullah, 57, beberapa lot kediaman yang terdapat di situ tidak mengganggu projek RTB tersebut kerana keluasannya melebihi had yang diperlukan bagi pelaksanaannya.

Tambahnya, jumlah pampasan yang diterima juga tidak setimpal dengan kos pembinaan rumahnya yang berganda nilainya.

Malah lebih mengejutkan, tiada kriteria yang digariskan oleh pihak kerajaan negeri dalam memberikan pampasan kepada penduduk yang terjejas.

“Kerajaan Negeri Selangor bagi RM30,000 tetapi jumlah kos pembinaan rumah mencecah RM350,000.

“Tiada kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan negeri, sebagai contoh rumah bernilai RM350,000 akan mendapat jumlah sedemikian, rumah bernilai RM100,000 akan mendapat jumlah sedemikian, tapi ini tidak,” keluhnya. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -