Kita dan persediaan perang terbesar di LCS

SEPANJANG kajian saya sejak lebih 10 tahun lalu, persediaan Amerika untuk berperang dengan China di sempadan negara kita tidak pernah sehebat persediaan mereka pada bulan Jun 2020 baru-baru ini, iaitu sebulan selepas berlakunya pertembungan antara kedua-dua kuasa ini di perairan kita dalam kes operasi West Capella yang dikontrak Petronas.

Memang Tentera Laut Amerika sentiasa mengekalkan kehadiran armada mereka di rantau kita ini sejak 75 tahun lalu lagi, namun intensiti operasi terkini mereka pada hujung bulan Jun cukup luar biasa: dua operasi ‘Dual Carrier Strike Groups’ dilakukan dengan kombinasi tiga kumpulan kapal induk pengangkut pesawat!

Indikator yang paling ketara dalam kajian saya ialah sela masa antara operasi gabungan (Dual-Carrier Strike Group operations) antara dua kumpulan Angkatan Carrier Strike AS yang semakin meningkat.

Advertisement

Sebagai rekod perbandingan, pada tahun 2001 Angkatan Carrier Strike Group Constellation dan Carl Vinson beroperasi bersama-sama di Laut China Selatan. Operasi sebegini hanya diulangi lapan tahun kemudian iaitu pada 2009 apabila Angkatan Carrier Strike Group George Washington dan Nimitz 2 beroperasi di Pasifik Barat.

Sela masa sembilan tahun ini kemudiannya berkurang kepada lima tahun iaitu apabila Angkatan Carrier Strike Group George Washington dan Carl Vinson beroperasi di kedua-dua Laut China Selatan serta Laut China Timur pada September 2014.

Begitu juga apabila empat tahun kemudian, iaitu pada November 2018 apabila Angkatan Carrier Strike Group Ronald Reagan dan John C. Stennis melaksanakan operasi gabungan di Laut Filipina Barat.

Namun begitu, pada bulan Jun 2020 ini sahaja dua operasi sedemikian telah dilaksanakan dalam tempoh hanya seminggu.

Terkini, hanya dua tahun selepas kali terakhir operasi gabungan dilaksanakan, operasi berkembar dua Angkatan Carrier Strike Group Amerika Syarikat kembali di Laut Filipina Barat apabila bukan dua, tetapi tiga Angkatan Carrier Strike Group AS melakukan dua kombinasi latihan berkembar.

Kedua-dua operasi berkembar ini melibatkan gabungan USS Theodore Roosevelt (CVN 71) dan USS Nimitz (CVN 68) pada 21 Jun 2020 dan diikuti gabungan Angkatan Nimitz dan Ronald Reagan pada 28 Jun 2020.

Angkatan Nimitz Carrier Strike Group terdiri daripada kapal pengangkut pesawat USS Nimitz (CVN 68), Carrier Air Wing (CVW) 17, kruiser peluru berpandu USS Princeton (CG 59), pemusnah berpeluru berpandu USS Sterett (DDG 104), dan USS Ralph Johnson (DDG 114).

Angkatan Theodore Roosevelt pula terdiri daripada USS Theodore Roosevelt (CVN 71), kruiser berpeluru berpandu USS Bunker Hill (CG 53) dan kapal pemusnah berpeluru berpandu daripada Destroyer Squadron (DESRON) 23, USS Russell (DDG 59), USS Rafaela Peralta (DDG 115), serta Carrier Air Wing (CVW) 11.

Angkatan Ronald Reagan Carrier Strike Group pula terdiri daripada kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan (CVN 76), Carrier Air Wing (CVW) 5, kruiser berpeluru berpandu USS Antietam (CG 54), serta kapal pemusnah berpeluru berpandu USS Mustin (DDG 89).

Angkatan Ronald Reagan Carrier Strike Group ini dikerahkan di pangkalan hadapan Yokosuka, Jepun dan seringkali melaksanakan rutin operasi pengamanan dan keselamatan di Indo-Pasifik.

Kebiasaannya, operasi pemusnah berkembar Tentera Laut AS di Laut China Selatan ini dilaksanakan apabila Carrier Strike Group Armada Ketujuh dari Pantai Barat Amerika digabungkan bersama Carrier Strike Group Armada Ketujuh dari pangkalan hadapan Yokosuka, Jepun.

Faktor kritikal yang mendorong operasi besar-besaran Tentera Laut AS pada Jun 2020 ini ialah hakikat bahawa China baru sahaja menguji persenjataan dan operasi kapal pengangkut pesawat kedua mereka pada Mei lalu iaitu Shandong (Type 001A).

Dalam ujian tersebut, Shandong berjaya melancar dan menerima pendaratan pesawat pejuang Shenyang J-15. Pencapaian ini mengukuhkan motivasi Beijing yang sedang mengenakan tekanan ke atas Hong Kong dan Taiwan serta Filipina, Vietnam, dan Malaysia di Laut China Selatan.

Maka tidak hairanlah apabila Tentera Laut AS berulang kali menegaskan bahawa operasi mereka di Indo-Pasifik saat ini adalah bagi melindungi negara-negara sekutu mereka daripada ancaman ke atas kedaulatan mereka.

Mesej AS jelas; China mungkin boleh berbangga dengan dua kapal pengangkut pesawat Liaoning dan Shandong mereka, tetapi AS memiliki kombinasi kembar pemusnah Angkatan Armada Ketujuh Pasifik yang boleh dikerah dalam tempoh seminggu sahaja di Laut China Selatan.

Kita di Malaysia wajib mengikuti rapat percaturan kedua-dua Amerika dan China di Laut China Selatan pasca COVID-19 ini. Pencerobohan kapal China yang mengganggu operasi West Capella-Petronas hanyalah sebahagian kecil daripada rencana besar ‘grand strategy’ Beijing manakala tindakan ‘balancing’ daripada Amerika (dan Australia) pasti akan mengimpak kita jua. Dalam masa yang sama, ASEAN juga bermasalah kerana ada beberapa negara menjadi ‘tali barut’ China seperti Laos dan Kemboja, manakala Filipina cuba menuntut Sabah daripada kita, sedang Vietnam turut mula mencabar hak di Pentas Benua kita. Benar, kita sekarang mungkin selesa dengan Five Power Defence Arrangements (FPDA) bersama-sama Australia, United Kingdom, New Zealand, dan Singapura, tetapi berdasarkan sikap agresif China yang semakin menjadi-jadi, mungkinkah konfigurasi ‘military alliance’ yang baru perlu dipertimbangkan? Mungkin penggabungan tidak formal antara FPDA dengan Quadrilateral (Amerika, Australia, Jepun, dan India)?

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah: 216)

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 20/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.