Seludup PATI: Siasatan diperluas bawah AMLA

bawah
- Advertisement -

KOTA TINGGI: Polis akan bertindak lebih agresif dalam membanteras penyeludupan pendatang asing ke dalam negara dengan mempelbagaikan skop siasatan, termasuk pemilikan aset mereka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

- Advertisement -

Malah siasatan juga akan turut merangkumi akaun-akaun milik ahli keluarga mereka yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu, di bawah Seksyen 4 Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLA) 2001, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Saya juga memberi amaran kepada semua pihak khususnya rakyat tempatan agar jangan terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan migran kerana hukumannya memang keras, penjara tidak melebihi 20 tahun dan kita juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah AMLA.

“Semua akaun (dan aset) mereka (yang disyaki terlibat penyeludupan migran) serta akaun-akaun ahli keluarga mereka akan dibekukan. Impaknya bukan sekadar ke atas suspek tetapi juga kaum keluarga mereka. Jadi jangan terlibat!,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 51 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi, pagi ini, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng Otong’, yang terlibat dalam penyeludupan migran dan telah aktif sejak tahun 2014.
 
Ayob Khan menyifatkan pendakwaan hari ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dan merupakan kes pertama di Malaysia di mana mereka yang ditahan terlibat dalam penyeludupan pendatang ini, disiasat di bawah jenayah terancang.

“Mereka ini berperanan sebagai ahli kumpulan jenayah terancang di mana mereka ini bertindak bersama dalam satu rantaian dalam sindiket penyeludupan migran.

“Mereka ini terdiri daripada ketua sindiket, agen, tekong darat, ‘transporter’, penjaga rumah pengapungan, tekong laut yang berada dalam rantaian yang sama,” kata beliau dan menambah kesemua mereka ini ditahan di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA).

Ayob Khan berkata kejayaan ini merupakan hasil tindakan dan kerjasama yang mantap bersama Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Md Yusuf Ahmad dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Johor ACP Hoo Chuan Huat, serta dibantu lain-lain pasukan bantuan dari Ibu pejabat polis Bukit Aman.

Beliau berkata pihaknya juga selepas ini akan menumpukan perhatian kepada aktiviti penyeludupan migran di pantai barat Johor selepas berjaya membanteras sebanyak 95 peratus aktiviti itu di Pantai Timur.
 
Berhubung dengan saki baki suspek yang akan dituduh berkaitan kes penyeludupan migran, beliau berkata ada 19 lagi suspek melibatkan pegawai dan anggota penguatkuasa.

“Kita sudah siapkan kertas siasatan dan ini akan dipanjangkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara. Insya Allah, minggu hadapan kita akan dapat keputusan untuk menuduh mereka.

“Sementara itu, masih ada saki baki (Geng Otong) yang kita percaya ada di Indonesia. Kita masih memantau pergerakan mereka,” tambah beliau sambil menambah, operasi membanteras penyeludupan migran akan diteruskan. – BERNAMA

- Advertisement -