Ke mana lagi Tun Dr Mahathir?

- Advertisement -

APA yang tidak dirasai dan dicapai Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau telah menjadi Ahli Parlimen Malaysia sejak tahun 1964 iaitu dalam PRU ke-2. Veteran 94 tahun ini kemudiannya telah menjadi Perdana Menteri rekod dua kali iaitu selama 22 tahun dari 1981 ke 2003 dan sekali lagi selama 22 bulan dari 2018 ke 2020.

Hari ini beliau memegang kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya pada PRU14 dan duduk di blok pembangkang sebagai pembangkang yang mesra Pakatan Harapan (PH).

Masalahnya walaupun dalam posisi demikian, Tun masih menceburkan diri secara aktif dalam politik dan hari ini masih bernafsu mahu menuntut kerusi Perdana Menteri (PM) yang kini di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Perikatan Nasional (PN).

Majoriti yang dalam lingkungan usianya sudah tidak aktif berpolitik, malah ramai yang di peringkat itu sedang mempersiapkan diri untuk dunia kedua masing-masing, tetapi Tun masih bergelut mahu ‘ditakhtakan’ sebagai PM lagi.

- Advertisement -

Suka tidak suka hakikatnya Tun memang tokoh yang sangat dihormati rakyat Malaysia. Beliau berjuang dalam politik sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi, dan telah melalui pasang surut politik sehingga naik sebagai PM sebanyak dua kali.

Sepatutnya dengan pencapaian luar biasa itu dan tambahan di usia senja Tun lebih wajar berperanan sebagai seorang negarawan yang mendukung kerajaan yang memerintah sebagaimana Tun Abdullah Badawi, bukannya menjadi perkakas pembangkang sehingga mahu merobohkan kerajaan yang ada.

Kerajaan Perikatan Nasional hari ini adalah kerajaan yang terasnya Melayu Islam, gabungan parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara dengan didukung parti-parti Bumiputera Islam dan bukan-Islam serta parti-parti bukan-Melayu yang lain. Ia naik setelah dominasi DAP dalam Kerajaan PH dilihat sebagai ancaman sehingga mengganggu keselesaan kehidupan majoriti rakyat khususnya umat Melayu Islam dengan dasar dan pendekatan rasis, ekstrem dan Cauvinisnya.

Tun sendiri merasai bahang DAP itu kerana itu Tun hadir dan berucap dalam ‘Kongres Maruah Melayu’ semasa beliau PM ke-7 dan pernah menyuarakan kebimbangan apabila kuasa politik Melayu menguncup ekoran keputusan PRU ke-14 lalu.

Tun juga risau untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang didakwanya tidak sesuai naik sebagai pemimpin negara. Tun pernah mendedahkan bahawa Anwar tidak bermoral dan terakhir Tun dakwa Anwar menganut ideologi yang Liberal yang tidak boleh diterima oleh orang-orang Melayu. Malah pernah Tun menyatakan:

“Anwar ini memang dia gila-gila nak jadi Perdana Menteri. Dia tak boleh jadi (Perdana Menteri). Entah macam mana, kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya.”

Hari ini DAP bukan dalam kerajaan dan begitu juga Anwar, tetapi mengapa Tun masih memilih untuk mahu menjatuhkan kerajaan ini dengan sokongan DAP dan Anwar? Apakah lagi yang Tun mahu?

Pimpinan dalam PN sama ada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang cukup menghormati Tun. Dan demi melihat ancaman DAP serta kecenderungan Anwar, apabila sahaja Kerajaan PH roboh angkara peletakan jawatan Tun, telah bermuafakat membentuk kerajaan baru bebas dan tanpa DAP dan Anwar serta konco-konco mereka.

Sepatutnya langkah ini dialu-alukan dan diturut serta oleh Tun, tetapi tidak. Tun sebaliknya memilih berpakat kembali dengan DAP dan Anwar serta PAN dan WARISAN untuk menjatuhkan Kerajaan PN atas alasan pelbagai sedangkan Tun lah yang dahulunya mencetuskan idea perpaduan Melayu Islam.

Kini kumpulan Anwar dalam PH pun tidak berapa selesa dengan Tun. Walaupun cuma punya 5 kerusi, dan sokongan dari WARISAN, Tun bertegas mahu menjadi PM jika PH berkuasa kembali, walaupun menurut laporan dalam tempoh interim 6 bulan. Tidakkah ini merendahkan nilai dan martabat Tun yang sepatutnya diraikan sebagai negarawan? Boleh dan berselerakah Anwar untuk percaya Tun lagi?

Tun menuduh Muhyiddin mahu melindungi tokoh-tokoh Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas pelbagai kes. Tun berang apabila bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dibebaskan dari segala pertuduhan terhadapnya di mahkamah baru-baru ini. Tetapi Tun lupa PM dan Kerajaan PN hari ini bukan sebagaimana beliau sepanjang kariernya sebagai PM dahulu sama ada sepanjang 22 tahun pertama atau 22 bulan terakhir.

PM dan Kerajaan PN hari ini tidak mencampuri atau mengganggu proses keadilan di mahkamah. Bekas TPM Tun Musa Hitam semasa meletakkan jawatan sebagai TPM pada Februari 1986 mendakwa Tun sering merungut apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahi kerajaan. Dan akhirnya semua kita tahu apa berlaku ketika Tun menjadi PM dahulu, Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan 5 Hakim Mahkamah Agung dipecat dari jawatan masing-masing. Semasa Tun PM juga segala pertuduhan rasuah terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan telah ditarik balik walaupun kes sedang dibicarakan di mahkamah.

Sesungguhnya Tun menyukarkan sendiri kehidupannya. Ada yang menyatakan bahawa Tun demikian kerana mahu menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz. Jika benar demikian mengapa perlu pilih bersama DAP dan Anwar lagi?

Adat dan warisan budaya umat Melayu mengajar kita menghormati yang tua apa lagi yang pernah berjasa pada bangsa dan tanah air. Yang tua dimuliakan yang muda dikasihi demikianlah kita dididik dan mendidik anak cucu kita. Tetapi dalam kes Tun ini beliau sendiri memilih untuk melawan arus. Anehnya beliau mendedahkan permasalahan umat Melayu, beliau menzahirkan ancaman dan musuh-musuhnya tetapi hari ini beliau memilih bersama mereka itu.

Masa sudah terlalu suntuk buat beliau, tetapi Yang Maha Pencipta masih mengurniakan kasih sayang Nya. Kembalilah Tun, buang yang keruh dan ambil yang jernih, biarlah nama dan jasa kita disanjung dan dihormati anak cucu dan keturunan kita nanti. Bersama kita membina Malaysia yang baru dan sejahtera buat semua.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -