Krisis dalam PH: Ibarat menutup bangkai gajah

ph
- Advertisement -

KRISIS dalaman PH terutamanya PKR semakin ketara malah tidak mampu lagi nak diselindungi. Terbaru apabila Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, YB Daroyah Alwi, yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa mengumumkan keluar dari PKR pada semalam, 13 Jun membuktikan lagi krisis dalaman PKR masih belum berakhir. Selain umum keluar parti, terdapat juga ahli dan pimpinan mereka dipecat dalam tempoh terdekat ini. Rakyat Selangor memerhatikan sahaja gelagat ‘pergaduhan politik’ yang tidak berkesudahan. Pastinya rakyat semakin muak dengan suasana ini.

Begitu berkecamuk suasana dalaman parti-parti dari komponen PH yang bermacam ragam. Tidak berkesudahan apabila kemuncaknya dengan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM ke-7 dan kini susulan demi susulan yang melibatkan pimpinan dan ahli keluar parti disebabkan hilangnya keyakinan kepada Presiden dan pimpinan parti sendiri menjadikan goyahnya PH tatkala sering berpura-pura dengan mainan ‘kami ada angka’.

- Advertisement -

Bermain dengan persepsi kononnya YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti, namun yang terbaru berlaku kini Kerajaan PH di Kedah beralih kepada PN. Yang jelas, Ahli Parlimen Bebas lebih mesra PN berbanding PH. PH sudah tidak lagi dilihat gah, malah gandingan figura mereka antara Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang taringnya.

Inilah akibat yang PH terpaksa menerimanya walau pahit ditelan. Peluang selama 22 bulan selama ini gagal dibuktikan bahawa mereka bekerja untuk rakyat. Apa yang terpapar adalah kepentingan Islam dan Melayu tergugat, sibuk bercakaran merebut jawatan Perdana Menteri (PM), malah gagal menunaikan manifesto yang dicanang sewaktu kempen PRU14 dahulu.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh PH apabila mereka sendiri merobek mandat yang diberikan oleh rakyat. Sebelum memperolehi kuasa, tertunduk merayu agar rakyat beri satu undi. Selepas memperolehi kuasa, bongkak sombong dengan kata ‘terima kasih bagi pandangan tetapi anda bukan kerajaan’.

Adakah suasana peralihan kuasa juga akan memberikan tempias kepada suasana di Negeri Selangor ini selepas Johor, Perak dan Kedah? Apapun kejadian yang berlaku, PAS Selangor amat yakin rakyat sudah dapat menilai dan membuat percaturan baru untuk PRU15 yang akan datang.

Apa pun, yang pasti PH sudah tidak lagi relevan di mata rakyat. Kegagalan mereka bukan biasa tetapi luar biasa. Mereka berusaha menutupi kegagalan dan krisis yang berpanjangan. Hakikatnya tindakan mereka ibarat ‘menutup bangkai gajah’. Kini PN yang terbentuk adalah inspirasi terbaik buat seluruh rakyat Malaysia. Sesibuk mana PH membilang kerusi, PN tetap sibuk memastikan kebajikan rakyat diutamakan.

Badan Perhubungan PAS Selangor mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya di Negeri Selangor agar sama-sama mendukung Kerajaan Perikatan Nasional peringkat Persekutuan. Sejak memerintah sudah lebih genap 100 hari, tiada usaha untuk memburukkan Kerajaan PH yang lalu melainkan kini giat memikirkan manfaat dan kebajikan yang terbaik buat rakyat secara keseluruhan.

YB DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Selangor
22 Syawal 1441H | 15 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 15/6/2020

- Advertisement -