Siasat jenayah kolar putih bekas Menteri, Peguam

- Advertisement -

DUNGUN: Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan dan tindakan sewajarnya ke atas Lim Guang Eng.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata ianya susulan pendedahan surat bekas Peguam Negara, Tommy Thomas kepada mantan Menteri Kewangan tersebut yang tular di media sosial.

“(Dimana) isi kandungan (surat) tersebut jelas menunjukkan LGE, atas kapasiti jawatannya yang dipegang ketika itu (telah) menyalahgunakan kuasanya.

“Kerana cuba mencampuri urusan siasatan dan (telah) mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan SPRM dalam menyahbekukan akaun seorang taikun hartanah,” tegasnya.

Hal demikian dinyatakan melalui satu kenyataan media selepas tampil membuat laporan berkait perkara berkenaan di Balai Polis Daerah Dungun, di sini kelmarin.

Katanya, perkara berkenaan tidak boleh didiamkan kerana dibimbangi terus berlaku penyelewengan berstatus jenayah kolar putih.

“Tiada siapa yang boleh terkecuali dari lunas perundangan sama ada (terbukti) benar bersalah atau tidak kita serahkan (kepada) pihak berkuasa (untuk) bertindak dan menyiasat. (Paling) utama perlu ada tindakan susulan ke atas kes ini,” ujarnya.

Justeru beliau turut berharap agar rakyat celik serta bersatu padu di dalam memastikan negara bebas dari sebarang penyalahgunaan kuasa juga rasuah. – HARAKAHDAILY 15/6/2020

- Advertisement -