Ambil tindakan kepada Dong Jiao Zong

- Advertisement -

KERAJAAN sewajarnya memberhentikan persidangan yang bakal dijalankan oleh Persatuan Dong Jiao Zong bagi membantah pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular.

- Advertisement -

Hal ini kerana, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha memecah belah kaum semata-mata, sedangkan isu pengenalan tulisan jawi bagi sekolah vernakular telah diberi kelonggaran dengan memberikan pilihan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), ibu-bapa dan murid sama ada untuk mempelajarinya atau tidak.

Saya kira tidak sewajarnya isu pengenalan tulisan jawi mendapat bantahan lagi dengan kelonggaran telah diberikan. Oleh itu, Kerajaan sewajarnya menarik balik kelebihan yang telah diberikan kepada Persatuan Dong Jiao Zong yang dilihat semakin berani menentang keputusan Kerajaan.

Sehingga kini, persatuan tersebut masih tidak berhenti mendesak Kerajaan bagi mengiktiraf UEC. Tuntutan ini secara diam-diam diteruskan sehingga melibatkan sesi libat urus kepada ahli parlimen malah keseluruhan ahli yang terlibat dalam usaha pengiktirafan sijil UEC mencecah 406 orang jelas sekali usaha tersebut bertentangan dengan polisi Kerajaan.

Tambahan pula, peruntukan belanjawan 2020 bagi SMPC yang kian meningkat seolah-olah mempamerkan Kerajaan menyokong segala tindak tanduk persatuan ini walaupun jelas sekali SMPC tidak layak mendapat apa-apa bantuan Kerajaan setelah menolak untuk bersama-sama dalam sekolah pengiktirafan Kerajaan.

Justeru, Kerajaan sewajarnya mengambil tindakan tegas ke atas Persatuan Dong Jiao Zong dengan menghalang persidangan yang hanya mendorong kepada perpecahan kaum dan menggantung pertubuhan tersebut serta menarik semula peruntukan tersebut bagi menunjukkan keseriusan Kerajaan menjaga keharmonian kaum di negara kita.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 16/12/2019

- Advertisement -