Kiosk TPay kurang kesesakan di kaunter bayaran

Ahmad Samsuri mencuba Kiosk Layan Diri Terengganu Pay pada majlis pelancaran yang diadakan di Wisma Darul Iman, Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan awam negeri menerusi pelancaran Kiosk Layan Diri Terengganu Pay (TPay) bagi memudahkan urusan pembayaran rakyat secara lebih cepat dan efisien.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri mewujudkan persekitaran masyarakat tanpa tunai dalam kalangan rakyat menerusi penggunaan sistem e-pembayaran.

- Advertisement -

“Objektif utama pelaksanaan kiosk ini adalah untuk memudahkan rakyat daripada pelbagai latar belakang menggunakannya bagi menyelesaikan urusan pembayaran dengan lebih pantas.

“Dalam masa sama, ia membantu mengurangkan kesesakan di kaunter selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kiosk Layan Diri Terengganu Pay di Wisma Darul Iman, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman; dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kerajaan negeri menyedari setiap pelaksanaan teknologi baharu lazimnya akan berdepan dengan rungutan pengguna khususnya pada peringkat awal penggunaan.

Katanya, segala kelemahan yang timbul akan ditangani segera melalui proses penambahbaikan berterusan supaya kemudahan disediakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Keutamaan kita ialah memastikan teknologi yang diperkenalkan ini benar-benar memudahkan rakyat dan bukan sebaliknya.

“Jika ada kelemahan daripada sudut teknikal atau penggunaan, maklum balas diterima akan dijadikan asas untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang menambah bilangan kiosk berkenaan pada masa depan serta memperluaskan fungsinya sebagai pusat pembayaran sehenti tertakluk kepada garis panduan kewangan ditetapkan Bank Negara Malaysia.

Menurutnya lagi, TPay bukan diwujudkan untuk bersaing dengan platform pembayaran sedia ada seperti Touch n Go, sebaliknya melengkapkan ekosistem pembayaran digital demi keselesaan rakyat.

“Mudah-mudahan inisiatif ini akan terus menyumbang kepada usaha kita bersama untuk membina negeri yang lebih maju, lebih moden, lebih sejahtera dan mendatangkan kebaikan bukan sahaja kepada negeri bahkan kepada rakyat kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -