
KUALA TERENGGANU: “Mana perginya formula-formula sakti yang pernah dijanjikan untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam?” soal Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang).
Menurutnya, rakyat mempersoalkan janji tersebut berikutan kenaikan harga bahan api memberi kesan langsung kepada kos operasi harian, terutama bagi penduduk luar bandar yang bergantung kepada sektor perikanan dan pertanian sebagai sumber pendapatan.
“Kita sering disogok dengan alasan bahawa harga minyak dan diesel melonjak kerana pergolakan di Timur Tengah.
“Kononnya kerana konflik di Selat Hormuz, tetapi seperti yang pernah ditegaskan oleh Yang Berhormat Jabi sebelum ini, minyak kita dari Pelantar Terengganu ini tidak pernah melalui Selat Hormuz. Ia tidak terlibat dengan krisis perang di sana.
“Minyak kita diproses dalam negara untuk rakyat negara ini. Kenapa harganya diserahkan mengikut selera? Pasaran global yang tidak ada kena mengena dengan geografi kita. Adakah selat Hormuz itu kini sudah berpindah ke perairan Marang ataupun Dungun?
“Hari ini, rakyat Rantau Abang yang majoritinya nelayan dan petani terpaksa bergelut dengan kenaikan kos diesel, manakala di Sabah dan Sarawak harganya kekal rendah.
“Adakah rakyat Terengganu ini dianggap anak tiri atau adakah kerajaan pusat sedang melakukan satu eksperimen sains sosial untuk melihat sejauh mana rakyat kita boleh bersabar dengan tekanan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mohd Fadhli turut menyifatkan tindakan yang diambil adalah manifestasi kegagalan tadbir urus di peringkat Persekutuan.
“Mereka gagal mengimbangi antara pengurusan subsidi dan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar setiap yang dibangkitkannya diterjemahkan kepada tindakan nyata oleh pihak kerajaan.
“Kita tidak mahu rakyat terus-menerus menunggu jawapan dalam ketidakpastian,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















