
KOTA BHARU: Cadangan pembangunan semula tapak Flat Kampung Sireh oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) disifatkan sebagai projek berimpak besar yang berpotensi merancakkan pembangunan bandar dan urbanisasi di kawasan Lembah Sireh.
Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) berkata, beliau menyokong penuh cadangan pembangunan bercampur di kawasan berkenaan kerana diyakini mampu memberi kesan positif kepada ekonomi setempat serta kesejahteraan masyarakat.
“Cadangan pembangunan tersebut adalah satu langkah yang sangat baik dan saya menyokong penuh pelaksanaannya dalam masa terdekat,” katanya ketika perbahasan Ucapan Junjung Kasih Titah Pemangku Raja Kelantan di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek perancangan trafik perlu diberi perhatian serius sejak peringkat awal pelaksanaan projek bagi mengelakkan masalah kesesakan yang semakin ketara di kawasan tersebut.
“Aliran trafik di Persimpangan Kampung Sireh menghala ke Pintu Geng kini semakin sesak terutama pada waktu puncak sehingga ke Persimpangan Kijang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar jalan di persimpangan berkenaan dinaik taraf kepada jalan empat lorong selaras dengan pembangunan yang bakal dilaksanakan.
“Dicadangkan satu Kajian Impak Trafik (TIA) dilaksanakan bagi memastikan sistem lalu lintas di kawasan ini dapat ditambah baik dan dirancang dengan lebih sistematik,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa projek pembangunan semula itu dijangka memberi kesan besar kepada proses urbanisasi di kawasan Lembah Sireh.
“Saya menaruh harapan yang tinggi bahawa projek ini akan memberi impak besar kepada ekonomi masyarakat termasuk impak sosial secara keseluruhan,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan supaya pembangunan tersebut berteraskan konsep bandar pintar, lestari dan mesra alam.
“Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan yang bersifat ‘smart city’, lestari serta menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, projek berskala besar seperti itu perlu dirancang secara teliti termasuk aspek penyelenggaraan jangka panjang dan akses mesra OKU.
“Perancangan rapi sangat penting supaya kemudahan yang dibina tidak terbiar dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















