
SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor menuntut agar satu audit forensik menyeluruh oleh jawatankuasa bebas dilakukan segera ke atas semua projek dan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani isu banjir di negeri ini melibatkan projek-projek terdahulu, sedang berjalan dan akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), Mohamed Sukri Omar berkata tuntutan berkenaan adalah amat wajar kerana Pakatan Harapan (PH) di Selangor ternyata telah gagal sepenuhnya bagi menangani isu banjir di Selangor ini meskipun negeri ini adalah negeri yang kaya dan mempunyai rezab simpanan negeri yang tinggi.
“Ternyata, PH di Selangor telah ketandusan idea untuk menyelamatkan negeri dan rakyat Selangor dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Pemuda PAS Negeri Selangor pada ketika ini tidak akan lagi bertoleransi dengan sikap Kerajaan Negeri terhadap krisis banjir yang semakin meruncing.
Beliau mendedahkan bahawa berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025, data menunjukkan nilai kerugian banjir bagi keseluruhan kerosakan di Selangor melonjak kepada RM52.9 juta pada 2025, berbanding 22.6 juta pada tahun 2024.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya memberikan tempoh tiga hari bekerja bermula esok, Rabu, 13 April 2026 kepada Menteri Besar Selangor untuk memberikan respons rasmi dan menyatakan kesediaan melakukan audit forensik ini secara terbuka.
“Sekiranya YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Selangor mengabaikan tuntutan ini sepertimana beliau lakukan ke atas nasihat Kebawah Dulu Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Selangor untuk menyelesaikan isu banjir di negeri ini laksana ‘mencurah air ke daun keladi’, Pemuda PAS Selangor sendiri akan hadir ke pejabat Menteri Besar Selangor bersama dengan tuntutan ini selepas daripada ini
“Kami berjanji, kami tidak akan membiarkan rakyat Selangor terus menjadi mangsa atas kegagalan dan kelemahan PH di Selangor untuk mentadbir negeri ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















