
KOTA BHARU: Isu keselamatan digital perlu diberi perhatian serius seiring usaha kerajaan negeri memperkasa agenda ekonomi digital, khususnya bagi melindungi rakyat daripada ancaman penipuan dalam talian dan sindiket kewangan tidak berlesen.
Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) berkata, perkembangan pesat pendigitalan ekonomi ketika ini turut membawa risiko baharu kepada masyarakat jika tidak disertai dengan aspek keselamatan yang kukuh.
Katanya, berdasarkan laporan pihak berkuasa, Kelantan mencatatkan kerugian melebihi RM50 juta akibat kes penipuan dalam talian sepanjang tahun 2025, yang menunjukkan peningkatan ancaman jenayah siber terhadap rakyat.
“Apabila negeri menggalakkan pendigitalan, maka negeri juga mesti bersedia melindungi rakyat daripada risiko seperti scammer, akaun keldai dan pelbagai modus operandi baharu,” katanya ketika membahas ucapan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan pada sidang Dewan Negeri Kelantan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukan sekadar isu jenayah, tetapi turut berkait rapat dengan ketahanan ekonomi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang mudah terdedah kepada penipuan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memperkukuh program pendidikan dan kesedaran keselamatan digital di semua peringkat termasuk sekolah, institusi masjid, komuniti serta agensi kerajaan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan perluasan akses mikro kredit yang lebih mudah dan cepat bagi membantu rakyat mendapatkan modal perniagaan tanpa perlu bergantung kepada sumber tidak sah.
“Ramai mangsa bukan semata-mata cuai, tetapi terdesak mencari modal segera untuk berniaga dan akhirnya terperangkap dengan pinjaman tidak berlesen,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh kepentingan memperkukuh infrastruktur digital termasuk penyelesaian isu kawasan ‘blind spot’ internet yang masih berlaku di beberapa lokasi luar bandar.
Beliau berkata, usaha tersebut memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat telekomunikasi serta GLC berkaitan bagi memastikan liputan internet yang lebih menyeluruh.
“Ukuran kejayaan sebenar bukan pada angka liputan atas kertas, tetapi apabila rakyat tidak lagi menghadapi masalah capaian internet dalam kehidupan harian,” katanya.
Beliau menegaskan, keselamatan digital dan pembangunan ekonomi digital perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati secara selamat dan inklusif oleh seluruh rakyat. – HARAKAHDAILY 21/4/2026




















