Jumlah penagih dadah di Kelantan makin menurun

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bilangan penagih, kes penyalahgunaan dadah dan jumlah tangkapan menyaksikan penurunan biarpun Kelantan mencatatkan kadar paling ramai mengikut nisbah penduduk iaitu 980 bagi setiap 100,000 orang.

Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, ia berpandukan statistik dari 2024 dan 2025 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, bilangan penyalahgunaan dadah turun sebanyak 7.4 peratus, kes penyalahgunaan dadah juga berkurangan sebanyak 582 kes, manakala jumlah tangkapan menyaksikan penurunan sebanyak 1,018 tangkapan.

“Jumlah kes keseluruhan menunjukkan penurunan, begitu juga jumlah tangkapan, angka ini bukan diraikan secara kosong, ia lebih sebagai petunjuk arah usaha berterusan dilaksanakan selama ini mula menampakkan kesan.

“Kita sedar isu dadah tidak boleh diselesaikan dengan tangkap dan hukum semata-mata, sebab itu pendekatan yang diambil kini lebih menumpukan kepada pencegahan awal serta penglibatan masyarakat,” katanya.

Pengerusi Pemadam Kelantan itu berkata, kerajaan negeri komited untuk melaksanakan program ‘Jihad Perangi Dadah’ bermula Julai 2025 menerusi kerjasama antara Pemadam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.

Inisiatif yang dimulakan di Pasir Mas sebagai projek perintis itu, memberikan tumpuan penglibatan pemimpin setempat dan juga penghulu kampung untuk melaporkan kes tanpa rasa bimbang terhadap aspek keselamatan mereka.

“Namun hakikatnya, kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa peranan rakyat, apabila kita cakna, ramai berani menegur dan kita sanggup bekerjasama dengan pihak berkuasa, disitulah bermulanya perubahan sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2025

- Advertisement -