Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN

Gerbang baharu 2026 dibuka, PN mulakan langkah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dilihat sedang menuju memasuki tahun baharu 2026 dengan meletakkan iltizam jitu untuk memulakan langkah politik lebih segar dalam menyuntik momentum ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam hantaran terkini dimuat naik di media sosialnya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PN yang dikatakan menyatakan hasrat meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin) dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16. Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui Perikatan Nasional sebagai Pengerusi yang baru.

“Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN. Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.

“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” alu beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengisyaratkan perubahan baharu itu sebentar tadi.

Perkembangan tersebut dilihat lebih positif; matang dan sejahtera serta lebih harmoni untuk memperkukuhkan perpaduan dilaungkan selama ini di sebalik pelbagai kemelut dan keributan yang melanda pemimpin dan parti-parti politik dalam negara.

Mutakhir, negara khususnya politik Melayu-Islam diselimuti kekecewaan oleh rombakan Kabinet dilakukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beberapa portfolio penting bagai diserahkan penguasaannya kepada DAP.

Rakyat yang cakna politik dan berharap memberi harapan kepada PN juga dikejutkan dengan situasi berlaku di Perlis hingga menyebabkan perubahan jawatan Menteri Besar lalu menimbulkan desakan penyatuan baharu segera diadakan.

Antara desakan dan cadangan yang berbangkit adalah melakukan perubahan segera ke atas kepimpinan PN dan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) selaku payung besar umat Melayu-Islam negara ini.

Muhyiddin dalam kenyataan terkini dimuat naik di media sosial peribadinya mengumumkan bahawa beliau telah membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” ujar beliau yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh sebentar tadi. – HARAKAHDAILY 30/12/2025

- Advertisement -