ARMADA pura-pura tak tahu siapa punca PN retak

- Advertisement -

KAMI amat kecewa dengan kenyataan sahabat kami, Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Harris Idaham Rashid yang secara terang-terangan menafikan serta membutakan mata terhadap krisis besar dalam Perikatan Nasional khususnya pasca krisis Menteri Besar di Perlis.

Kenyataan ARMADA BERSATU yang seolah-olah dalam sindrom penafian ini hanya melukakan lagi keadaan ibarat mencurahkan garam ke atas luka yang sedang membarah.

ARMADA BERSATU sepatutnya menerima hakikat bahawa BERSATU telah melanggar garis merah dalam persahabatan kita di dalam Perikatan Nasional dan mengambil tindakan dengan mendesak pucuk pimpinan BERSATU agar segera mengakui kesilapan dan ambil tindakan secara terhormat dalam kadar yang segera.

- Advertisement -

Menafikan pengkhianatan yang berlaku secara terbuka ini hanyalah akan membuatkan pendukung PAS di seluruh negara kecewa, marah dan berpatah arang berkerat rotan dengan BERSATU.

ARMADA BERSATU tidak boleh berpura-pura naif dengan krisis dalaman ini. BERSATU hakikatnya telah menjadi bidak catur sebahagian pihak sehingga berjaya merealisasikan punca berlakunya ketidakstabilan PN di negara ini ibarat retak menanti belah.

Tiada makna ARMADA dan Pemuda PAS berkawan sekiranya ARMADA meredhai pengkianatan yang berlaku kepada ‘kawan’ kalian.

Sekiranya ketika menjadi pembangkang ARMADA boleh meredai pengkhianatan dalaman yang berlaku hari ini, apa jaminan ARMADA berupaya untuk tegas berprinsip bersama dengan keadilan di saat kita dalam kerajaan nanti?

Sudah tiba masanya PAS Pusat merampas tampuk kepimpinan PN demi menyelamatkan perjuangan ini di peringkat nasional. BERSATU telah hilang maruah dan prinsip mereka. BERSATU telah khianat dan sedang membawa PN ke arah kehancuran.

Sekian

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor- HARAKAHDAILY 29/12/2025

- Advertisement -