
KOTA BHARU: Kira-kira sembilan pusat pengajian pondok dalam tiga wilayah di Selatan Thailand; Pattani, Yala, dan Narathiwat mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau menghulurkan bantuan kewangan kepada sebahagian institusi terbabit yang terpaksa menampung kos kerosakan infrastruktur besar akibat bencana banjir baru-baru ini selain membantu pelajar-pelajar memerlukan.
Malah lawatan bermula minggu lalu, memberi peluang melihat sendiri bagaimana perkembangan pusat pengajian pondok di negara Gajah Putih itu serta aktiviti harian pelajar termasuk mendalami ilmu turath dalam pengajian.
“Alhamdulillah selesai sudah misi bantuan banjir ke beberapa buah pondok di wilayah Selatan Thailand, terima kasih kepada semua termasuk pihak yang terlibat secara langsung mahu tidak langsung di dalam misi kali ini.
“Semoga segala usaha dan keprihatinan kita semua mendapat ganjaran yang sebaiknya dari sisi Yang Maha Esa,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook rasmi beliau, Mohd Nassuruddin Haji Daud kelmarin.
Turut serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Abdullah Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus; ADUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah.
Delegasi itu menziarahi salah satu institusi terjejas antaranya Pondok Darul Falah di Kampung Benda Kok Prang Pattani yang dipimpin oleh Tuan Guru Rafie Yusof yang mempunyai 50 orang pelajar mendalami ilmu agama.
Perjalanan diteruskan menziarahi Pondok Maahad Islami Dirasat Islamiyahdiketuai oleh Bab Li Sekam atau Tuan Guru Ghazali Ahmad al Fathani yang menjadi antara tokoh ulama yang pakar dalam kitab-kita turath.
Bahkan Menteri Besar turut mengunjungi Tuan Guru Ismail Omar atau lebih dikenali Baba Eil Sepanjang yang menjadi pengasas Pondok Darul Muhajirin, Kampung Dusun Sepanjang Pathani yang terjejas akibat banjir.
Beliau juga mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada pondok Maahadil Ulum Cherang Batu Pathani yang menampung kira-kira 2,000 dan 125 tenaga pengajar dan kakitangan, antara pusat pengajian penting di Pattani.
Misi bantuan itu diteruskan lagi ke Pondok Raudatul Salam, institusi pondok beroperasi selama 12 tahun dibawah kelolaan Tuan Guru Zainal Abidin Abdullah menempatkan seramai 200 orang pelajar yang tekun menuntut ilmu agama. – HARAKAHDAILY 28/12/2025











