Khairil fokus Tahfiz TVET, infra dan air di Jerantut

Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin meletakkan antara fokus utama diperjuangkan sejak awal kempen pilihan raya dan diteruskan hingga kini ialah pemerkasaan institusi-institusi tahfiz di Jerantut.

“Kita melihat ramai anak-anak kita di Maahad Tahfiz ini mempunyai potensi besar, tetapi masa depan mereka perlu diperluaskan. Sebab itu kita berjuang supaya Maahad Tahfiz ini dinaik taraf dengan laluan pendidikan yang lebih luas,” katanya.

- Advertisement -

Hasil perjuangan tersebut, daripada 17 maahad tahfiz yang ada, kini Jerantut mempunyai sebuah institusi Tahfiz TVET dan disifatkan sebagai satu perkembangan sangat positif dalam tempoh sepenggal perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen.

Walaupun menegaskan ia bukan usaha beliau seorang, Khairil merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang merealisasikan penubuhan institusi berkenaan.

Jelasnya, melalui pendekatan Tahfiz TVET, pelajar tahfiz bukan sahaja berpeluang memperoleh tauliah daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk mengajar di masjid dan surau, malah turut didedahkan dengan pendidikan vokasional dan teknikal seperti kimpalan (welding) serta kemahiran keusahawanan.

“Bayangkan anak-anak ini, siang mereka boleh bekerja sebagai tenaga mahir, bila masuk waktu azan mereka menjadi imam, mengajar di surau, dan pada waktu malam pula menyampaikan kuliah. Ini ekosistem pendidikan yang seimbang,” katanya.

Beliau menegaskan, pelajar tahfiz juga diberi pilihan sama ada untuk meneruskan pengajian akademik ke universiti tempatan atau Timur Tengah, atau memilih laluan TVET bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara yang semakin mendesak.

Selain pendidikan, Khairil turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya rangkaian jalan raya di Jerantut yang terletak di tengah Semenanjung Malaysia dan tidak dilalui secara langsung oleh lebuh raya utama seperti Laluan Pantai Timur (LPT).

Menurutnya, ketiadaan laluan terus dan keadaan jalan berbukit memberi cabaran besar kepada pembangunan industri dan pergerakan logistik, termasuk isu jalan yang sering menjadi ‘hotspot’ kerana lori berat gagal melepasi laluan tertentu.

Walaupun memahami kekangan kewangan kerajaan serta keperluan keutamaan projek di peringkat nasional, beliau tetap membawa isu tersebut ke Parlimen dan mengadakan rundingan dengan Kementerian Kerja Raya serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Alhamdulillah, hasil rundingan, projek Jalan Persekutuan di Jerantut dan lebuh raya baharu dapat dipercepatkan. Perkembangannya sangat positif dan ini antara perkara yang boleh saya banggakan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keprihatinan terhadap masalah bekalan air di beberapa kampung, antaranya Kampung Bukit Nikmat yang sebelum ini berdepan kesukaran air bersih walaupun namanya membawa maksud ‘nikmat’.

Khairil mengakui dilema kerajaan untuk melabur kos tinggi bagi kampung dengan jumlah penduduk kecil, namun menegaskan hak rakyat luar bandar tetap perlu dibela.

“Takkan kerana penduduk kampung sedikit, mereka dinafikan bekalan air? Sebab itu kita cadangkan pendekatan berperingkat,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Hasilnya, projek bekalan air di Kampung Bukit Nikmat kini hampir siap dan dijangka dapat diselesaikan sebelum musim perayaan, manakala di kawasan lain seperti Perluk, penduduk bersama wakil rakyat turut membina empangan kecil dan sistem paip secara gotong-royong.

Selain itu, beliau memaklumkan beberapa permohonan lain seperti projek bersama PERHILITAN, Hospital Jerantut serta keperluan pendidikan turut mendapat kelulusan, manakala cadangan pembinaan kolej Tingkatan Enam, MRSM dan institusi pendidikan lain masih dalam pertimbangan.

Mengakui kedudukannya sebagai Ahli Parlimen pembangkang, Khairil menegaskan perjuangan itu tidak terhenti dan akan berterusan.

“Menang atau kalah itu urusan Allah. Yang penting, bila ditanya oleh Allah nanti, saya boleh jawab bahawa saya telah berusaha menjadi Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, berkhidmat di Parlimen dan turun bertemu rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar kepuasan manusia, tetapi akauntabiliti di hadapan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 30/12/2025

- Advertisement -