
KANGAR: Perlis menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang memperkenalkan undang-undang khusus bagi urusan pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam.
Ia setelah Rang Undang-Undang Enakmen Pengangkatan Orang Islam (Negeri Perlis) 2025 telah diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kelulusan tersebut merupakan satu langkah progresif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh undang-undang keluarga Islam serta memastikan kesejahteraan anak angkat lebih terjamin.
“Kelulusan ini menandakan langkah progresif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh undang-undang keluarga Islam serta memastikan kesejahteraan anak angkat terjamin,” ujarnya dalam sidang media di Kompleks Seri Putra di sini.
Beliau menjelaskan bahawa enakmen ini membawa beberapa manfaat utama kepada rakyat, antaranya penyelesaian isu mahram melalui susuan (rada’ah) bagi kanak-kanak di bawah dua tahun.
Menurutnya, melalui peruntukan ini, ibu bapa angkat boleh mewujudkan hubungan mahram yang sah dari segi Syarak dengan anak angkat, sekali gus melindungi batas aurat dan pergaulan apabila kanak-kanak tersebut meningkat dewasa.
Selain itu tambahnya, enakmen ini turut menetapkan hak harta dan tanggungjawab nafkah anak angkat secara jelas.
“Turut diperkukuh ialah kerjasama antara Mahkamah Tinggi Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang membolehkan perintah pengangkatan diiktiraf untuk tujuan pendaftaran rasmi,” katanya.
Melalui mekanisme ini jelasnya, urusan dokumentasi penting seperti persekolahan dan kewarganegaraan dapat diuruskan dengan lebih mudah tanpa kerumitan birokrasi yang selalunya dihadapi ibu bapa angkat.
Dalam pada itu, Ketua Hakim Syarie Negeri, Jaidi Ahmad berkata, kerangka perundangan ini adalah untuk memastikan masa depan dan kebajikan ekonomi anak angkat dipelihara melalui perintah Mahkamah, sekali gus mengelakkan pengabaian hak mereka.
“Bagi memastikan keselamatan dan kepentingan anak angkat benar-benar menjadi keutamaan, Mahkamah turut diwajibkan melantik seorang Penjaga (Ad Litem) dalam setiap prosiding pengangkatan.
“Penjaga ini bertanggungjawab menyiasat serta memastikan permohonan pengangkatan dibuat demi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut, dan mengelakkan sebarang unsur pemerdagangan atau penganiayaan,” jelas beliau.
Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2025 mengangkat Perlis sebagai negeri yang terus mendahului usaha memperkemas sistem pengangkatan patuh Syariah, bagi memastikan kebajikan dan keteguhan institusi kekeluargaan umat Islam di Semenanjung Malaysia . – HARAKAHDAILY 12/12/2025




















