
KOTA BHARU: Isu spa songsang yang mencetuskan kegelisahan masyarakat perlu ditangani secara tuntas melalui penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta pindaan Perlembagaan bagi memperkukuh bidang kuasa syariah.
Pada masa ini Malaysia sudah mempunyai peruntukan jelas terhadap perlakuan songsang lelaki dengan lelaki, namun kelemahan dari sudut pelaksanaan dan kekeliruan proses siasatan dilihat mengelirukan masyarakat.
Ustazah Asmak Husin berkata, undang-undang sedia ada seperti Seksyen 377D Kanun Keseksaan sebenarnya mencukupi untuk mendakwa individu yang terlibat dalam perbuatan lucah sesama lelaki, sama ada secara paksa atau suka sama suka.
Pengerusi Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat itu berkata, kenyataan pihak polis bahawa ‘case is gone’ menimbulkan kekeliruan kerana masyarakat beranggapan tiada kes boleh diteruskan.
“Ramai bertanya kenapa tidak direman, namun penolakan reman bukan bermakna tiada kes. Ia hanya kerana suspek dibawa ke mahkamah selepas 24 jam, jadi mahkamah menolak permohonan reman,” katanya dalam satu kenyatan.
Menurutnya, seramai 171 individu yang ditahan dalam serbuan itu masih boleh dipanggil semula dan didakwa bila-bila masa sekiranya siasatan melengkapkan bukti.
Tambahnya, kes sebegini tidak boleh dianggap isu bermusim yang hanya timbul ketika ada tangkapan kemudian kembali ‘senyap’, sebaliknya mesti diperjuangkan sehingga berjaya dibanteras.
“Kita berharap polis tidak membuat kesimpulan awal bahawa tiada kes di bawah Kanun Keseksaan boleh diteruskan hanya kerana tiada siapa mengaku mangsa,” ujarnya.
Ustazah Asmak menegaskan SOP siasatan juga perlu diperkemaskan supaya bukti berkaitan perbuatan liwat dapat dikumpul dengan jelas.
“Seksyen 377A menyatakan bahawa walaupun tiada mangsa, kesalahan liwat sesama lelaki tetap satu jenayah,” katanya.
Beliau berkata isu spa songsang bukan semata-mata soal menghukum, tetapi melibatkan usaha menjaga kesihatan masyarakat, kesejahteraan umum serta mengelakkan normalisasi perlakuan terlarang.
Mengulas keputusan mahkamah dalam kes Iki Putra dan Nik Elin, beliau berkata banyak kesalahan syariah tidak lagi boleh didakwa kerana dianggap berada dalam bidang kuasa jenayah Persekutuan.
“Saya bersetuju bahawa pindaan segera Perlembagaan diperlukan. Undang-undang sivil dan syariah mesti berfungsi serentak untuk mengekang perlakuan songsang dalam kalangan Muslim,” katanya.
Beliau menambah negeri-negeri juga perlu diberi kuasa penuh untuk menggubal serta menguatkuasakan undang-undang syariah agar amalan hidup umat Islam tidak digugat.
Beliau turut melahirkan rasa dukacita terhadap situasi yang berlaku sejak isu serbuan spa songsang itu tercetus.
“Bukan hanya saya sahaja yang kecewa, tetapi rakyat Malaysia yang prihatin terhadap perkara ini, dah macam tak ada undang-undang, sampai boleh berpesta begitu sekali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025











