
ALOR SETAR: Kerajaan tidak wajar mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana desakan tersebut disifatkan sebagai helah politik DAP yang berpotensi mengapi-apikan sentimen perkauman serta menggugat asas perpaduan nasional.
Pengarah Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah, Ibrahim Ismail berkata, kebimbangan timbul apabila terdapat desakan supaya Perdana Menteri mengiktiraf UEC, justeru satu pernyataan ringkas dibuat mewakili suara belia bagi menyanggah tuntutan tersebut.
Katanya, selepas DAP mengalami kekalahan teruk dan ditolak pengundi Cina dalam pilihan raya Sabah baru-baru ini, pimpinan parti itu dilihat kembali menghangatkan isu lapuk yang menjadi tunjang perjuangan mereka.
“DAP sanggup menggertak Perdana Menteri dengan memberi kata dua enam bulan untuk membuat perubahan, jika tidak mereka akan meninggalkan Kabinet tetapi masih bersama. Bercerai tetapi masih mahu tinggal serumah. Sedangkan pentadbiran Kerajaan Madani sudah tiga tahun berlalu. Ini luar tabi‘i,” katanya.
Beliau menjelaskan, tindakan tersebut tidak lain hanyalah helah politik untuk mengapi-apikan perpaduan kaum melalui dasar pecah dan perintah.
Jelasnya, jika rakyat hidup berbaik-baik dan bersatu padu, masyarakat akan sedar tiada keperluan untuk menentang dasar-dasar nasional, khususnya perpaduan melalui pendidikan.
Ibrahim berkata, isu UEC sering dimanipulasi kerana majoriti masyarakat Cina mengikuti pendidikan formal melalui sistem tersebut.
Apabila kepentingan ini didakwa disekat, ia boleh mencetuskan penentangan terhadap kerajaan memerintah dan secara tidak langsung menguntungkan DAP dari sudut sokongan politik.
Tegasnya, kerajaan tidak pernah menafikan atau menyekat peperiksaan UEC, dibuktikan dengan graduan pemegang sijil tersebut tidak pernah dihalang menjawat jawatan dalam kerajaan.
Namun katanya, keutamaan kerajaan ialah dasar peperiksaan tunggal tertinggi melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbukti menjadi tunjang keharmonian negara dan asas perpaduan nasional.
Beliau menyifatkan cita-cita DAP untuk memperoleh pengiktirafan UEC sebagai penghinaan terhadap pembinaan jati diri bangsa.
Menurutnya, walaupun DAP cuba menggambarkan UEC bukan penghalang kecemerlangan, hakikatnya pengiktirafan itu akan membuka ruang keuntungan besar kepada sekolah-sekolah berkaitan termasuk kelayakan menerima dana kerajaan, selain syarikat-syarikat tertentu yang menetapkan UEC sebagai syarat pengambilan pekerja.
“Sudah tentu sebahagian besar masyarakat akan tersisih. Adakah ini yang diinginkan pimpinan DAP? Adakah mereka sedar ramai rakyat berbangsa Cina tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak mengenal kebudayaan yang menjadi asas rakyat Malaysia? Adakah ini tidak menjadi faktor perpecahan rakyat?” soalnya.
Beliau menyatakan, perkara yang lebih penting untuk ditekankan oleh kepimpinan negara ialah dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan, kerana di situlah terletaknya proses sebenar perpaduan rakyat melalui sistem penilaian tunggal.
Mengulas hujah yang sering dibawa menyokong UEC, Ibrahim memberikan contoh peribadi.
Katanya, jika Suzanah Hanim Wong mampu menggenggam ijazah perundangan (LL.B) melalui laluan UEC, beliau sendiri juga memiliki ijazah yang sama walaupun empat tahun tidak melalui sistem pendidikan menengah nasional kerana mengikuti pengajian tidak formal dalam bidang agama dan tahfiz.
Beliau menjelaskan, dirinya kembali ke sistem pendidikan nasional semata-mata untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini sudah lebih 15 tahun beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Malaya.
Tambahnya, beliau juga menggenggam Ijazah Sarjana LL.M dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta berkhidmat sebagai imam masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Jika saudari Suzanah Hanim Wong boleh berjaya, kenapa perlu pengiktirafan?” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025











