UEC: Tunduk ugutan ‘Abang Besar’ bukti kerajaan goyang

- Advertisement -

IPOH: Rakyat disifatkan sudah muak dengan permainan retorik politik Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat semakin goyah serta tunduk kepada tekanan dan ugutan ‘Abang Besar’ dalam gabungan tersebut.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Khalil Yahaya berkata, siri ‘tuntutan keras’ yang dibuat oleh pemimpin DAP mutakhir ini membuktikan Kerajaan PH tidak stabil, tidak jujur dan mengenepikan agenda nasional demi kelangsungan kuasa.

​Beliau merujuk kepada amaran tempoh enam bulan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk pelaksanaan reformasi, serta desakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

​“Tindakan-tindakan ini membuktikan secara jelas bahawa Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan goyah. Rakyat sudah muak dengan retorik politik sebegini dan menuntut perubahan tulen, bukannya drama desakan yang hanya memikirkan kepentingan parti semata-mata,” katanya.

​Mengulas mengenai tempoh masa enam bulan yang ditetapkan Anthony Loke kepada Perdana Menteri, Khalil menyifatkannya sebagai satu sandiwara politik dan pengakuan terbuka terhadap kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi sejak lebih tiga tahun lalu.

​Jelasnya, tindakan itu hanyalah cubaan terdesak untuk mengawal kerosakan (damage control) selepas prestasi buruk DAP dalam pilihan raya di Sabah baru-baru ini.

​“Jika DAP benar-benar serius dengan agenda reformasi yang dilaungkan puluhan tahun, mengapa tunggu lebih tiga tahun menjadi kerajaan baru mahu tetapkan tempoh enam bulan?

​“Mereka hanya bersuara lantang selepas sokongan semakin terhakis, bukan bertindak berani di dalam Kabinet sebelum ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah itu.

​Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan Nga Kor Ming membangkitkan isu UEC di mana disifatkannya sebagai manifestasi cauvinisme politik yang tidak sensitif terhadap Dasar Pendidikan Negara.

​Ujar beliau, tindakan tersebut seolah-olah mengesahkan kebimbangan majoriti rakyat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus tunduk kepada tuntutan melampau DAP demi mengekalkan kuasanya.

​“Rakyat sedang memerhati dan menilai cara Perdana Menteri mengendalikan segala desakan daripada ‘Abang Besar’ ini. PAS Perak menuntut Perdana Menteri menolak sekeras-kerasnya tuntutan UEC dan mengutamakan Perlembagaan.

​“Kami akan terus memimpin rakyat agar kerajaan mengutamakan agenda nasional, bukan tunduk kepada ugutan politik mana-mana pihak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -