Perlis beri rebat air, bantu rakyat terkesan banjir

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat apabila Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengumumkan pemberian rebat 10 meter padu (m³) air pengguna domestik bagi bulan Disember.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia sebagai langkah segera membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

“Untuk mangsa banjir dan seluruh rakyat Perlis, kita bagi rebat 10m³ air untuk bulan 12,” katanya ketika menggulung perbahasan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini semalam.

Beliau turut menambah bahawa rebat ini diyakini mampu membantu rakyat dalam proses pembersihan pascabanjir.

“Insya-Allah 10m³ ini saya anggar mencukupi untuk mencuci rumah dan keperluan lain,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Sidang DUN yang bermula pada 9 hingga 11 Disember ini merupakan sidang terakhir bagi Belanjawan Perlis 2026 dan menariknya, belanjawan tersebut telah mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli Dewan termasuk pihak pembangkang.

Perbahasan turut menyaksikan pelbagai cadangan serta idea bernas dilontarkan oleh ahli-ahli Dewan, mencerminkan suasana perbahasan yang matang, tenang dan berfokus kepada kepentingan rakyat.

Perlis, tegas Mohd Shukri, sedang melangkah setapak lagi dalam usaha mengangkat ekonomi serta kesejahteraan rakyat selaras dengan tema belanjawan tahun ini ‘Perlisku Bestari, Rakyat Sejahtera’.

Kerajaan negeri katanya, kekal konsisten dalam melaksanakan agenda kebajikan, memastikan setiap inisiatif yang dirangka memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya mereka yang masih menghadapi kesan pascabanjir. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -