
KEKALAHAN teruk DAP di Sabah telah menyebabkan parti politik yang berkuasa itu menekan butang panik. Menghidu penolakan pengundi Cina bakal berlaku di Semenanjung dalam PRU akan datang maka DAP mula geger menyalak seolah-olah kerajaan hari ini gagal melaksanakan reformasi. Dato’ Seri Anwar Ibrahim mulai didesak untuk melaksanakan UEC sebagai senjata ampuh untuk mengembalikan semula sokongan pengundi tegar mereka.
Rakyat yang cintakan kedamaian dan kerukunan antara kaum wajib merasa bimbang dengan usaha pemerkasaan sistem pendidikan persendirian Cina. Bahkan lebih jauh lagi, kemungkinan kerajaan pimpinan Anwar yang hanya didukungi oleh 11 peratus orang Melayu mengiktiraf sijil UEC sebagaimana desakan terbaru DAP pasca PRN Sabah.
Bukanlah rahsia umum lagi akan kelicikan Menteri-menteri DAP dalam menjayakan aspirasi parti mereka yang menjadi parti paling dominan dalam Kerajaan Madani. Tiga tahun terakhir ini, lihat sahajalah majlis-majlis pecah tanah pembesaran premis SJKC yang galak diadakan. Peruntukan demi peruntukan jutaan ringgit disalurkan pada sekolah-sekolah vernakular bahasa Cina ini jelas sudah untuk merengkuh dukungan masyarakat Cina.
Dalam masa yang sama, usaha digerakkan secara halus untuk memperkasakan sekolah vernakular, sedangkan sekolah persendirian berteraskan bahasa ibunda kaum minoriti tidak diperlembagaankan. Ironinya, Anwar tidak akan mampu mengekang kemaraan tuntutan DAP dan kelompok etnosentrisme ini. Kedudukan PMX sememangnya bergantung kepada sokongan 40 kerusi DAP, jika mereka menarik sokongan maka Anwar Ibrahim hanya menjadi ratapan sejarah!
UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah Cina swasta di mana sekolah-sekolah menengah persendirian Cina mula dilaksanakan pada tahun 1975. Tahun 2025 telah memasuki penggal ke-51 peperiksaan ini. Jumlah kumulatif pelajar UEC pada tahun 2018 ialah seramai 645,699 orang.
Sekolah persendirian Cina yang mekar di zaman penjajahan British adalah untuk mengekalkan jati diri etnik Cina walaupun jauh terpisah dari Tanah Besar China.
Ia pernah menjadi lubuk kawah penyokong komunisme dalam dekad 1920-an sehinggalah 1960-an. Masyarakat pelombong Cina pada abad ke-19 bagi melindungi identiti bangsa telah berusaha membangunkan pendidikan Cina persendirian. Bagi memastikan berlakunya mobiliti sosial berlaku, sijil persekolahan disediakan bahkan lepasan sekolah-sekolah Cina dapat melanjutkan pendidikan tinggi ke Taiwan dan China. Dong Zhong adalah penggerak utama pelbagai tuntutan masyarakat Cina, perjuangan memperkasa sekolah vernakular Cina telah berdekad mereka diusahakan.
Masalah komunal yang menjadi isu teras tanah air ini semenjak pasca penjajahan Jepun, kesenjangan antara kaum akan makin melebar dan parah. Umno yang diharapkan untuk menjadi juru bicara umat Melayu sudah tidak berdaya menjaga aspirasi umat Melayu kerana persundalan mereka dengan DAP dalam gabungan kerajaan PH-BN. Lihat sahajalah kepada gangguan kepada kuliah-kuliah agama serta perlecehan yang berterusan kepada negeri SG4.
Tuntutan parti politik paling berkuasa dalam kerajaan Madani ini semakin menjolok mata, malah masalah komunal dalam negara semakin membuncah dalam kerapuhan demografi politik.
Mengapa kita tidak boleh mengiktiraf sijil ini di negara kita dan apakah kerugian mengiktiraf UEC terhadap sistem pendidikan negara ini? Walaupun taraf UEC lebih tinggi penarafannya berbanding STPM, kita akan hilang identiti sebuah negara bangsa bahkan meremehkan sistem penarafan pendidikan sedia ada.
Sekolah swasta Cina menggunakan silibus dari China, menggunakan sejarah negara China, menggunakan Mandarin sebagai bahasa rasmi mereka dengan matlamat pengukuhan jati diri bangsa malah melahirkan sikap etnosentrisme. Pemencilan satu kaum berbanding kaum peribumi akan mewujudkan kesenjangan sosial dan kegelisahan sosial yang parah.
Dengan latar belakang ini, adakah mereka ini akan mempunyai rasa kasih dan sayang yang sejati kepada Malaysia, bahkan mampu merapatkan jurang integrasi antara kaum? Mengapa perlu mengiktiraf persijilan mereka sekiranya ia merupakan pilihan mereka untuk bersekolah swasta Cina seterusnya membina tembok kaca antara kaum?
Kita telah merdeka lebih 67 tahun namun hubungan antara kaum tetap suram dan hambar seumpama bom jangka yang menunggu ledakan yang fatal!
Mengiktiraf UEC bermakna kita telah melakukan dua kesilapan besar serentak bagi negara ini. Pertama, memandang rendah terhadap sistem sedia ada dan penarafan persijilan asing. Keduanya, melonggarkan ikatan negara bangsa yang telah dibina sejak lama dan akan membawa kepada kepupusan jati diri serta mendobrak kesetiaan kepada negara.
Dengan pengiktirafan UEC ini, bermakna satu lagi benteng negara dan kontrak sosial akan dirombak sedikit demi sedikit. Kerajaan PH-BN akan mengheret kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama, mereka memicu kepada kebencian antara kaum melalui asas kontrak sosial.
Pendidikan ialah alat perpaduan negara. Meleraikan aspirasi ini bermakna negara ini dalam masa depan yang suram dan tidak menentu.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/12/2025











