AKSB selesai isu bekalan air pulau muara Sg Kelantan

- Advertisement -

TUMPAT: Gangguan bekalan air di beberapa buah pulau di muara Sungai Kelantan diselesaikan sepenuh apabila projek sistem penapis tekanan terletak di Kampung Laut di sini beroperasi sepenuhnya.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penduduk di kawasan terbabit sering berhadapan dengan tekanan air yang rendah serta kualiti air tidak baik.

Beliau berkata projek bernilai RM400,000 itu dilaksanakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan kerjasama Jabatan Sumber Air Kelantan bakal menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

“Selama ini kita memang ada masalah tak cukup air dan masih juga berlaku sekarang, inshallah dengan proses ini kita dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di kepulauan Tumpat dan sekitar.

“Kita sentiasa berusaha menyelesaikan masalah air tetapi tidak secara automatik, banyak lagi projek tambah baik bekalan air kepada rakyat, semua sudah ada, cuma makan masa sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan kerja bersama Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail ke lokasi projek di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan ADUN Wakaf Bharu, Rusli Abdullah.

Dalam pada itu Timbalan Pengurus Besar AKSB, Azlee Aladin berkata, pihaknya memasang kemudahan itu bagi menstabilkan bekalan serta meningkatkan kualiti air untuk disalurkan ke kampung terbabit.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan selepas AKSB membina dua unit telaga tiub untuk memproses air bawah tanah yang mengandungi kadar ferum tingga yang tidak sesuai dibekalkan kepada pengguna.

Selain itu katanya lagi, AKSB sedang melaksanakan pembinaan telaga baharu di Medan Telaga LRA Wakaf Bharu dan pembinaan kemudahan baru iaitu LRA di Sungai Pengkalan Nangka diperingkat reka bentuk.

“Bagi mangatasi masalah ini, satu unit penapis tekanan dibangunkan memastikan air yang diproses mencapai piawaian dan juga kualiti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Projek ini mengambil masa tiga bulan bermula pada 15 Ogos lalu dan siap sepenuhnya pada 16 November 2025, kita juga ada dua projek lain bagi memperkukuhkan sistem bekalan air di jajahan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2025

- Advertisement -