
KUANTAN: PAS menyatakan pendirian bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dibuat melalui perbincangan bersama presiden parti dan dimaklumkan di dalam mesyuarat bersama Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Kita ingin memaklumkan bahawa pendirian parti kita, menyokong ya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Keputusan ini telah pun dibuat melalui perbincangan, perundingan dan maklum balas daripada presiden parti dan saya telah maklum kepada Perikatan Nasional (PN) dalam mesyuarat sebelum ini,” ujarnya pada sidang media usai persidangan DUN Pahang di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, walaupun PAS tidak bersama dalam konteks pembentukan kabinet di Sabah seperti diumumkan Ketua Menteri pelantikan tetapi pendirian parti adalah menyokong dan mendukung Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Dengan pengumuman ini, saya yakin hubungan baik Dr Aliakbar dengan Datuk Seri Hajiji sebelum ini sebagai ADUN Lantikan, memudahkan beliau melaksanakan tugas-tugas, tanggungjawab sebagai ADUN yang telah pun dipilih oleh rakyat di DUN Karambunai.
“Dan saya pun telah maklum melalui surat rasmi kepada Datuk Seri Hajiji, Ketua Menteri Sabah tentang pendirian parti ini dan telah pun dimaklumkan melalui Dr. Aliakbar sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.
Beliau turut berharap segala usaha yang diberikan tersebut akan mengukuhkan kerajaan Sabah dari segi sokongan kepada kepimpinan Hajiji.
“Insya-Allah, kita yakin dengan pengalaman Ketua Menteri mentadbir negeri sebelum ini dan kerjasama yang dibuat oleh Dr Aliakbar sebelum ini akan mengukuhkan kepimpinan di Sabah ini, insya-Allah,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang berlangsung 29 November lalu, Dr Aliakbar yang memperoleh 7,054 undi memenangi kerusi DUN Karambunai.
Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS ngeri menewaskan 10 calon lain dengan majoriti 365 undi. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











