Isu tekanan mobiliti Semenyih diusaha penyelesaian

Cadang jajaran MRT, lebuh raya, naik taraf infra dan pengangkutan awam

- Advertisement -

HULU LANGAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz menggesa agar penyelesaian kepada tekanan mobiliti yang sekian lama menghantui penduduk dalam koridor Semenyih segera diatasi dengan beberapa pendekatan.

- Advertisement -

Sehubungan itu satu sesi libat urus teknikal telah diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Mobiliti Negeri, Ng Sze Han susulan isu tersebut terdahulu dibangkitkan wakil rakyat itu pada Persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Ustaz Nushi dalam perbincangan itu mendedahkan semula tiga isu besar situasi mobiliti harian ditanggung warga di mana jalan sempit dan sesak tidak lagi mampu menampung pertumbuhan pesat populasi dan pertambahan jumlah kenderaan.

Beliau merujuk keadaan tersebut kepada jalan utama Beranang – Semenyih – Kajang yang dilihat sebagai punca masalah asas pergerakan dan penyuraian trafik hingga berlaku kelewatan perjalanan, sekali gus menuntut naik taraf segera.

Pihak Ustaz Nushi juga mendapati perkhidmatan Rapid KL tidak menyeluruh apabila hanya melalui jalan primer tanpa memasuki kawasan perumahan utama seperti Bandar Rinching, EcoHill, Eco Majestic dan Bandar Tasik Kesuma.

“Kekosongan liputan ini menyebabkan ribuan penduduk bergantung sepenuhnya kepada kenderaan sendiri meskipun bayaran cukai dan caj pembangunan terus meningkat saban tahun,” ujar beliau.

Faktor turut diketengahkan beliau ialah perkhidmatan Bas Smart Selangor yang masih belum dapat memasuki kawasan Semenyih sepenuhnya berikutan kekangan kos operasi serta kapasiti pihak berkuasa tempatan.

“(Ini) sekali gus menafikan rakyat (warga penduduk Semenyih) daripada akses mobiliti percuma yang dinikmati banyak kawasan lain,” ujar beliau lagi menjelaskan punca-punca masalah tersebut.

Ustaz Nushi dalam perbincangan itu mengemukakan cadangannya supaya kajian awal sambungan sistem pengangkutan rel Transit Aliran Massa (MRT) melibatkan ‘missing link’ rangkaian itu dinilai semula serta pembinaan lebuh raya baru.

Secara khusus beliau melontarkan perlunya jajaran Bandar Seri Putra – Jenderam – Putrajaya melengkapi perkhidmatan rel bandar MRT sedia ada, selain melihat potensi atau merealisasikan pembinaan Putrajaya – Bangi Expressway (PBE).

“Keutamaan kita ialah mengoptimumkan rangkaian bas dan menaik taraf jalan utama terlebih dahulu, sebelum melangkah ke projek jangka panjang seperti MRT,” tegas Ustaz Nushi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Beliau berkata, langkah praktikal ini bukan sahaja memberikan manfaat segera kepada penduduk Semenyih, malah mengurangkan tekanan mobiliti yang semakin meruncing kawasan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu.

Menurutnya, rakyat sudah terlalu lama menunggu penyelesaian menyeluruh dan kerajaan negeri perlu memastikan inisiatif yang dibentangkan benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar menambah cadangan di atas kertas.

Kerajaan negeri difahamkan dalam usaha menangani masalah mendesak itu sedang menilai beberapa langkah segera melibatkan infrastruktur dan perkhidmatan termasuk pembinaan lorong khas bas (Dedicated Bus Lane).

Juga peningkatan kekerapan bas Rapid KL pada waktu puncak, penggunaan sistem Demand Responsive Transit (DRT) bagi menghubungkan kawasan perumahan besar ke laluan utama, serta menaik taraf jalan utama untuk memperbaiki aliran trafik secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -