Tempatan tulen, bukan ‘lompat, bangsawan’

Calon PERIKATAN NASIONAL PRN17 Sabah

- Advertisement -

TAWAU: Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin pengundi akan menerima calon tempatan yang diketengahkan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Menurut beliau, semua calon PN di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan anak jati Sabah dan bukan calon ‘lompat’ dari Semenanjung, sekali gus menolak kebimbangan mengenai sentimen kenegerian rakyat Sabah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, PN bersedia berdepan apa jua saingan kempen PRN kali ini dalam memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu.

- Advertisement -

“Calon PN semua orang (tempatan) Sabah, tidak ada orang (calon) dari Semenanjung. Apa slogan (atau sentimen) sekali pun, PN bersedia hadapi pilihan raya ini.

“Walaupun PN ada di mana-mana, calon-calon kami semuanya orang tempatan. Saya tak bertanding di sini (Sabah),” katanya yang turut hadir sejak hari penamaan calon dan berkempen bagi calon-calon PN.

Beliau berharap rakyat negeri itu memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL, sekali gus memperbetulkan kesilapan lalu yang menyaksikan Kerajaan PN yang telah dibentuk di negeri itu tumbang melalui ‘insiden lompat-melompat’.

“Saya harap rakyat Sabah teruskan sokong PERIKATAN NASIONAL untuk kita buktikan kerajaan PN yang ditumbangkan sebelum ini adalah satu kesilapan,” seru beliau yang juga Menteri Besar Kedah.

Muhammad Sanusi menegaskan, PERIKATAN NASIONAL menampilkan calon yang tulen dan tidak mementingkan diri, selain mengambil pengajaran daripada episod politik di Sabah sebelum ini sebagai panduan.

“Saya harap rakyat buat pilihan yang terbaik. Kita tawarkan kepakaran dan kelebihan yang kita ada. Kerajaan PN adalah kerajaan daripada rakyat untuk rakyat, bukan bangsawan untuk rakyat. Kita semua orang marhaen dan memahami keperluan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar rakyat selaku pengundi tidak memilih pemimpin ‘bangsawan dan kayangan’ yang tidak memahami kesusahan dan tidak menjiwai rakyat bawahan, selain demi masa depan Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Kalau lantik pemimpin kalangan bangsawan dan kayangan, adakah dia akan nampak kita? Tak, sebab mereka tak pernah rasa kesengsaraan kita. Kita mahu kerajaan yang memahami kedudukan rakyat dari bawahan hingga ke peringkat atas,” katanya.

Pemimpin tersebut dalam ucapannya pada majlis sama turut menyeru rakyat Sabah menggunakan kesempatan PRN17 yang datang lima tahun sekali itu untuk memilih pemimpin berani memperjuangkan hak negeri.

“Kita mahu pemimpin negeri yang dipilih berani bersuara untuk Sabah. Kita mahu apa yang diikat dalam Perjanjian Persekutuan 1963 (MA63) dilaksanakan untuk faedah rakyat dan negeri.

“Apa yang dijanjikan mesti ditunaikan dan jangan dilambatkan,” katanya sambil menegaskan kepentingan memperjuangkan hak negeri berdasarkan perjanjian tersebut.

Menurut beliau lagi, PN hanya bertanding di 42 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi DUN, namun jumlah itu signifikan dalam menentukan masa depan politik Sabah.

“Saya datang dengan tidak menjanjikan perkara-perkara besar, saya minta rakyat Sabah yang membuat keputusan untuk negeri Sabah. Saya hanya datang beri pandangan selain melihat gerak kerja jentera pilih raya yang semuanya berjalan lancar.

“Rakan-rakan saya yang bertanding pun tidak stress, semuanya ‘happy’,” katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah.

Sanusi percaya pengundi Sabah kini lebih bersikap terbuka disebabkan akses maklumat yang mudah diperolehi melalui telefon bimbit, sekali gus membolehkan rakyat menilai sendiri pilihan terbaik.

Mengulas mengenai persiapan jentera, Muhammad Sanusi berkata, PN bersedia menghadapi PRN Sabah dengan keyakinan terhadap kekuatan jentera parti yang disifatkannya bekerja keras di semua kawasan bertanding.

“Semua parti yang bertanding dilihat aktif, diharap pengundi dapat memilih yang terbaik. Saya harap rakyat Sabah buat pilihan yang tepat untuk berubah ke arah yang lebih baik, PN sedia untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau juga menyifatkan PERIKATAN NASIONAL semakin diyakiji dan mendapat perhatian pengundi Sabah apabila menyaksikan serangan politik kini bertumpu kepada gabungan itu sebelum dan setakat kenpen PRN17 tersebut.

Tambahnya, pertandingan beberapa penjuru yang berlaku di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini juga memberi isyarat berlakunya peningkatan sokongan terhadap gabungan itu.

“Saya nampak akhir-akhir ini PN diberi perhatian. Mungkin sebelum ini orang tidak nampak PN akan beri saingan, serangan yang datang ini menunjukkan PN sedang meningkat naik,” ulasnya.

PN mengumumkan bertanding di 42 daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17 ini, dengan membawa panji dan logo parti serta aspirasi ‘Kasi Bagus Sabah’.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri DrRonald Kiandee dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan antara calon dikemukakan bersama 90 peratus calon muka baharu yang menggunakan lambang PN pada PRN kali ini.

Daripada jumlah calon tersebut, 33 merupakan dari BERSATU, manakala lima lagi adalah calon PAS dan tiga dari GERAKAN.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -