‘Kita terus perjuang hak dan kebajikan nelayan’

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kebajikan dan hak asasi nelayan di Karambunai perlu terus diperjuangkan secara konsisten, kata Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Ini, ujarnya bagi memastikan komuniti itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang pesat.

Menurutnya, Kampung Sabang, kawasan Salimbangun dan Numbak adalah antara lokasi pesisir yang dihuni masyarakat nelayan sejak turun-temurun dan sebahagian besar penduduk bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara keluarga.

Katanya, beliau telah beberapa kali bertemu dan berdialog dengan nelayan termasuk ketika sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, bagi mendengar dan membincangkan secara langsung isu dan tekanan yang dihadapi komuniti tersebut.

“Jadi, banyak kali sudah saya buat perjumpaan dengan nelayan, di antara isu besarnya adalah isu jeti, isu pembangunan menelan masyarakat perkampungan nelayan, kemudahan-kemudahan, dan Alhamdulillah, bila kami mengadakan dialog dengan perlbagai agensi kita menerima sangat banyak maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menaiki bot dalam program ‘Sepagi Di Laut di Kampung Sabang’ hari ini yang turut disertai para nelayan tempatan dalam misi menangkap ikan bagi memahami kehidupan mereka secara lebih dekat.

Dr Aliakbar turut menyatakan bahawa sesi dialog bersama pelbagai agensi sebelum ini membuka banyak ruang maklumat yang membantu merangka penyelesaian yang lebih tepat untuk keperluan masyarakat nelayan Karambunai.

Calon PN bagi DUN Karambunai itu berkata, penglibatannya dalam aktiviti menangkap ikan pagi tersebut memberi peluang untuk benar-benar menghayati kehidupan nelayan selain mengukuhkan hubungan serta komitmen untuk terus memperjuangkan nasib mereka.

Justeru, beliau menegaskan bahawa perjuangan untuk memastikan hak, kebajikan, kemudahan serta inisiatif sokongan kepada nelayan akan diteruskan kerana sebarang pembangunan yang mengancam kampung pesisir pasti memberi kesan langsung terhadap sosioekonomi keluarga nelayan.

“Jadi di antara benda yang saya akan bawa dalam siri-siri perjuangan akan datang ini, insya-Allah untuk kita terus memperjuangkan hak dan kebajikan para nelayan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -