
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu, Ahmad Dullah berkata, beliau meneruskan ziarah dan bertemu penduduk setempat bukan untuk janji sementara.
“Hari ini saya akan meneruskan lawatan, ziarah dan pertemuan bersama penduduk setempat dari masjid ke kampung, dari rumah ke rumah.
“Saya turun bukan untuk janji sementara, tetapi untuk mendengar, memahami dan membawa suara anda ke hadapan,” ujarnya menerusi laman Facebook, hari ini.
Menurutnya, tanggungjawab seorang pemimpin bukan hanya berkata, tetapi hadir bersama rakyat.
“Kalau saya singgah di kawasan anda hari ini tegurlah, saya sedia mendengar pandangan dan harapan tuan puan semua.
“Hari ini saya teruskan langkah bukan sekadar berkempen, tetapi menyantuni, mendengar dan bersama rakyat,” katanya lagi.
Bagi Ahmad, dari gerai pagi, rumah warga, PASTI, pusat agama hingga ke pelosok kampung setiap langkah adalah amanah.
Justeru, beliau percaya bahawa pemimpin yang baik bukan hanya muncul ketika diminta, tetapi hadir sebelum diperlukan.
Tambahnya, setiap senyuman, luahan rasa, harapan yang beliau dengar hari ini itulah kompas perjuangannya.
Pada program ziarah hari ini, beliau berkesempatan singgah sebentar di gerai tepi jalan laluan utama Pasir Putih.
Di situ, ujarnya beliau bertemu dengan sahabat-sahabat yang sedang mengalas perut sebelum memulakan perjuangan harian mencari rezeki.
“Sempat kami berborak tentang keadaan semasa, berkongsi cerita dan bertanya khabar.
“Dalam kesederhanaan suasana pagi ni, saya terasa betapa kuatnya semangat rakyat kita ya, bekerja keras tanpa mengeluh, terus melangkah demi keluarga.
“Singgah sebentar, tapi maknanya besar. Inilah denyut nadi Tanjung Batu,” ujarnya yang berdepan dengan lima lagi calon di DUN Tanjung Batu yang mempunyai 27,428 pengundi pada Pilihan Raya Negeri kali ini. – HARAKAHDAILY 20/11/2025




















