Kos hidup: Rakyat kena kira semula perbelanjaan harian

- Advertisement -

PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif, menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan kos sara hidup yang semakin menjerut rakyat susulan kenaikan harga barangan keperluan harian yang masih belum menunjukkan tanda pemulihan.

- Advertisement -

“Saya mendengar sendiri keluhan penduduk dan peniaga kecil hasil temubual bersama rakyat mendapati kos sara hidup masih memberi kesan berterusan,” ujarnya ketika dalam aktiviti tinjauan mesra di sekitar pasar raya, di sini, semalam. (Foto atas)

Menurutnya, rungutan orang ramai yang ditemuinya sepanjang kempen menunjukkan bahawa isu harga barang kekal menjadi beban utama, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada pasar raya besar dan kedai runcit sebagai sumber utama pembelian.

“Kita tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai fenomena sementara. Rakyat benar-benar terkesan. Harga barangan asas yang naik mendadak memberi impak besar kepada kehidupan harian. Sudah sampai masanya tindakan segera dan lebih menyeluruh diambil,” katanya.

Tambahnya, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk pengukuhan mekanisme pemantauan harga, penambahbaikan rantaian bekalan, serta memastikan kos logistik tidak terus meningkat sehingga membebankan pengguna.

Beliau juga menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap pengusaha yang menyalahgunakan situasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.

Dalam tinjauan harga yang dilakukan dalam pasar raya, beliau meluangkan masa berinteraksi dengan pelanggan dan pekerja, meneliti harga barangan asas seperti beras, minyak masak, ayam, sayur-sayuran dan gula.

Dr Afifi mendapati ramai ibu bapa dan isi rumah berpendapatan sederhana serta rendah terpaksa mengira semula belanjawan harian demi menampung keperluan keluarga.

“Maklum balas yang saya terima jelas menunjukkan bahawa isu kenaikan harga bukanlah sekadar laporan statistik, tetapi realiti yang menekan setiap isi rumah.

“Ada ibu bapa yang terpaksa memotong perbelanjaan untuk pendidikan anak, ada pekerja yang memilih barangan lebih murah dan berulang ke pasar raya hanya untuk mencari harga terbaik.

“Inilah realiti yang sedang berlaku di lapangan, dan suara mereka harus dibawa sehingga ke peringkat pembuat dasar,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -