
CADANGAN ini diketengahkan sebagai memberi nafas segar kepada perbincangan nasional mengenai kelestarian alam, tadbir urus tanah, dan kesinambungan kepentingan awam. Dalam konteks politik tanah air yang sering berubah-ubah, isu pencerobohan hutan, pembalakan tidak terkawal dan pertukaran syarat tanah bagi tujuan pembangunan komersial sering menimbulkan keresahan rakyat. Maka, idea untuk menjadikan Hutan Simpan Kekal sebagai Aset Wakaf Hijau Negara tampil bukan sahaja sebagai inovasi dasar, tetapi sebagai strategi jangka panjang yang melampaui kepentingan politik semasa.
Hutan Simpan: Antara dasar dan ancaman politik
Selama bertahun-tahun, negara menyaksikan bagaimana kawasan hutan yang pada asalnya digazet sebagai simpan kekal akhirnya ditarik balik statusnya untuk pembangunan. Banyak faktor memberi perubahan disebab kerana tekanan politik atau kerana hasil jangka pendek yang menguntungkan sesetengah pihak. Keadaan ini menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap dasar pemeliharaan hutan semakin luntur.
Pencerobohan kawasan hutan, pembalakan haram serta projek pembangunan yang tidak berlandaskan kelestarian bukan sahaja menjejaskan biodiversiti tetapi mempercepatkan risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh dan pemanasan setempat. Masalah ini tidak boleh diselesaikan hanya melalui undang-undang; ia memerlukan mekanisme pemilikan yang tidak mudah diganggu oleh ‘mood politik’, kepentingan korporat atau perubahan kerajaan.
Wakaf Hijau: Benteng undang-undang yang lebih kukuh
Konsep wakaf dalam Islam membawa makna penyerahan harta untuk kepentingan umum secara kekal. Jika hutan-hutan tertentu dijadikan Wakaf Hijau Negara, kawasan tersebut:
1. Tidak boleh dijual, dipindah milik atau ditukar syarat sesuka hati oleh mana-mana kerajaan negeri atau pihak berkepentingan.
2. Dilindungi oleh hukum syarak dan undang-undang wakaf, menjadikan ia lebih sukar untuk digugat walaupun berlaku perubahan politik.
3. Mengukuhkan tadbir urus hutan, kerana pengurusan wakaf memerlukan struktur amanah yang telus, berakauntabiliti dan melibatkan pemantauan berkala.
Ini berbeza dengan status ‘Hutan Simpan Kekal’ semata-mata, yang walaupun kukuh di atas kertas, boleh dibatalkan dalam tempoh singkat melalui peruntukan undang-undang negeri.
Bukan untuk orang Islam sahaja: Kenapa semua warganegara perlu sokong
Ada yang mungkin bertanya, “Jika wakaf adalah istilah Islam, adakah cadangan ini hanya bermanfaat untuk umat Islam?”
Jawapannya, “Tidak!”. Kepentingan wakaf jenis ini bersifat sejagat dan manfaatnya dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira agama. Antara hujah yang wajar diberi perhatian ialah:
1. Wakaf Hijau adalah mekanisme pemilikan awam yang mempertahankan hak rakyat.
Kesemua warganegara sama ada Islam atau bukan Islam akan berkongsi kepentingan terhadap udara bersih, air yang stabil, suhu yang terkawal dan kesejahteraan ekologi. Wakaf Hijau memastikan hutan tidak boleh dimajukan menjadi projek komersial yang hanya menguntungkan segelintir pihak.
2. Manfaat ekonomi hijau tidak terhad kepada agama tertentu.
Industri eko-pelancongan, penyelidikan biodiversiti, pembayaran perkhidmatan ekosistem (PES), kredit karbon dan aktiviti rekreasi semuanya menghasilkan peluang pekerjaan serta pendapatan kepada penduduk setempat tanpa mengira latar belakang.
3. Wakaf Hijau menstabilkan dasar alam sekitar negara.
Dalam negara berbilang kaum, kestabilan dasar adalah kepentingan bersama. Wakaf mencipta perlindungan undang-undang tambahan yang menghalang manipulasi politik, seterusnya memberi keyakinan kepada NGO, ahli akademik, peniaga dan masyarakat umum.
4. Ia selari dengan prinsip sejagat mengenai penjagaan bumi.
Setiap agama besar menekankan amanah terhadap alam. Semuanya mengajar prinsip tanggungjawab terhadap ciptaan dan keseimbangan alam. Maka, kaedah wakaf hanyalah instrumen; matlamatnya benar-benar sejagat.
Bagaimana pewakafan hutan dilaksana
Saya mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri:
1. Mengenal pasti kawasan hutan simpan yang kritikal seperti kawasan tadahan air, koridor hidupan liar, hutan paya gambut, hutan melibatkan spesies hampir pupus dan hutan rizab banjir.
2. Mewakafkan kawasan tersebut kepada sebuah entiti amanah contohnya Yayasan Wakaf Hijau Negara atau Majlis Agama Negeri dengan kerjasama kerajaan Pusat.
3. Menggubal akta khas bagi menjamin larangan pembatalan status wakaf oleh mana-mana kerajaan pada masa hadapan.
4. Membentuk model ekonomi lestari termasuk penyelidikan karbon, eko-pelancongan, pemulihan hutan, pelatih TVET konservasi dan program komuniti. Mungkin FRIM boleh mulakan.
5. Menggalakkan penyertaan universiti, NGO dan masyarakat setempat bagi memastikan pengurusan hutan wakaf bersifat inklusif dan bukan eksklusif kepada satu segmen masyarakat sahaja.
Mengembalikan kepercayaan rakyat
Wujud persepsi bahawa isu alam sekitar sering menjadi ‘mangsa kompromi politik’. Dengan memperkenalkan konsep Wakaf Hijau Negara, Parlimen dapat menghantar mesej jelas bahawa sumber asli negara bukan milik sementara pemimpin, tetapi amanah kekal untuk generasi akan datang.
Cadangan ini juga memecahkan stigma seolah-olah wakaf hanya berkisar kepada institusi masjid atau tanah kubur. Dalam abad ke-21, wakaf harus dilihat sebagai instrumen pembangunan yang selaras dengan agenda global seperti SDG, ESG dan prinsip ekonomi hijau.
Konklusinya, pewakafan Hutan Simpan Kekal sebagai Aset Wakaf Hijau Negara adalah langkah pembaharuan berani yang mampu mengubah landskap tadbir urus alam sekitar. Ia menggabungkan kekuatan undang-undang wakaf, nilai sejagat penjagaan bumi, dan keperluan moden untuk melindungi aset negara daripada ketidaktentuan politik.
Manfaatnya bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Dalam era perubahan iklim dan krisis ekologi global, cadangan ini adalah simbol keberanian moral. Membuktikan bahawa negara kita mampu memilih warisan lestari berbanding keuntungan jangka pendek.
RUSHDAN RUSMI
Ahli Parlimen Padang Besar – HARAKAHDAILY 20/11/2025











