
KOTA KINABALU: “Di sebalik setiap bendera yang berkibar di Karambunai, ada tangan-tangan anak muda yang bekerja dalam senyap,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Menurutnya, walaupun jadual kempen padat tetapi beliau tidak pernah berjuang sendirian.
Katanya, ada sekumpulan anak muda yang setia bersama beliau bukan kerana gaji dan upah, tetapi kerana cinta mereka kepada perjuangan ini.
Timbalan Pengerusi PN Sabah itu menambah, sebahagian daripada mereka sudah bersama belum sejak sebelum pilihan raya lagi.
“Mereka bekerja siang sebagai anak, sebagai ketua keluarga, tetapi apabila malam tiba, mereka bertukar menjadi ‘tukang pacak bendera’ yang mengangkat, memanjat, menyusun, menyiapkan segala yang perlu untuk memastikan suara kita kelihatan di setiap penjuru Karambunai.
“Mereka tidur lewat, bahkan ada yang terus ke tempat kerja keesokan paginya tanpa cukup rehat,” ujarnya menerusi catatan di laman sosialnya, semalam.
Namun, kata bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu lagi, tidak pernah sekalipun mereka mengeluh.
“Merekalah unsung heroes saya. Wira-wira yang mungkin tidak ramai kenal, tetapi jasanya besar dalam perjuangan ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, kelmarin beliau sempat berkumpul bersama mereka, menyantuni dan mengucapkan terima kasih sedalam-dalamnya.
“Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala kebaikan mereka.
“Untuk kalian yang memasang bendera dalam gelap malam, ketahuilah bahawa perjuangan ini bukan milik saya seorang.
“Ini perjuangan kita. Dan saya bangga berjalan bersama kalian,” tambah bekas ADUN Lantikan pada penggal lepas itu lagi.

Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















