Bajet 2026: Cantik di kertas, tempang di lapangan

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN–Sungai Dua) menyifatkan bahawa bajet yang dibentang kerajaan negeri belum cukup memadai untuk menyelesaikan masalah pokok sedang membelenggu rakyat.

Beliau membangkitkan isu-isu besar yang menyentuh masa depan belia, wanita, alam sekitar dan rakyat marhaen di maja menurut Ketua Pembangkang itu, pembangunan belia sering disebut dalam bajet saban tahun tetapi masih belum ditangani secara tuntas.

- Advertisement -

“Dana kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) berjumlah RM1.39 juta pada 2025 memang ada, tetapi persoalan utamanya ialah impak sebenar kepada majoriti belia,” tegasnya.

Ustaz Fauzi membangkitkan beberapa persoalan kritikal berkaitan penglibatan belia luar bandar terlibat, jumlah belia B40 yang mendapat manfaat dan di mana indikator impak sebenar supaya bukan hanya diukur dengan jumlah program dianjurkan.

Sasaran kerajaan untuk melibatkan 40,000 belia menjelang 2027 dianggap hanya angka atas kertas jika tiada strategi ‘last-mile engagement’ yang mampu sampai kepada belia di lapangan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pulau Pinang sedang berkembang pesat dalam sektor semikonduktor, ekonomi digital, IC design dan pembinaan Pulau Silikon, namun belia tempatan masih belum disiapkan dengan latihan berskala besar yang sepadan.

“Jika belia tidak dipersiapkan, mereka akan menjadi penonton kepada kemasukan tenaga kerja luar,” katanya dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Dalam isu wanita, Pesuruhjaya PAS Negeri itu berkata kemajuan negeri tidak akan lengkap tanpa memastikan wanita menikmati peluang yang adil walaupun Bajet 2026 bernilai RM1.088 bilion, tetapi wanita masih belum menerima perhatian khusus setimpal.

Beliau mengalu-alukan dasar seperti Dasar Keluarga Selamat dan Gender-Responsive Participatory Budgeting (GRPB), namun menuntut laporan impak yang lebih jelas.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya memberi perhatian kepada keselamatan dan mobiliti pekerja wanita khususnya yang bekerja syif malam.

Tambahnya, keutamaan perumahan RMKu perlu diberikan kepada wanita berisiko seperti ibu tunggal, warga emas, OKU dan B40 serta pengukuhan kesihatan wanita, termasuk saringan penyakit, kesihatan mental dan reproduktif.

“Pelaburan dalam kesihatan wanita adalah pelaburan untuk generasi negeri ini,” katanya.

Ustaz Fauzi turut mengkritik kegagalan kerajaan menangani pencemaran akibat ladang ternakan babi di Sungai Kreh (Tasek Gelugor), Sungai Dua dan Permatang Berangan.

Beliau mendedahkan bahawa walaupun industri ternakan termasuk khinzir mencatat hasil RM1.91 bilion, namun peruntukan transformasi ladang moden hanya RM4.25 juta, jauh dari mencukupi.

“Tiada pecahan jelas kawalan najis, rawatan sisa atau penguatkuasaan. Jika tidak mampu selesaikan, tutup saja kandang-kandang yang gagal patuh SOP,” tegas beliau.

Isu buli di sekolah turut disentuh, namun beliau mengaitkan fenomena serupa turut berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri sendiri.

Beliau berkata, wujud tiga bentuk ‘buli kuasa’ iaitu pertama, buli terhadap penjawat awam seperti penjawat awam menerima tekanan supaya menjauhkan diri daripada program ADUN pembangkang.

Kedua jelasnya, buli terhadap rakyat melalui kenaikan cukai antaranya kenaikan cukai tanah, cukai pintu, tarif air bermula Julai 2026 dan gerai peniaga kecil dirobohkan tanpa perbincangan.

Ketiga menurutnya ialah pemimpin guna kuasa sebagai budaya pentadbiran.

“Kerajaan harus profesional. Pembangkang sebahagian daripada sistem demokrasi, bukan musuh. Yang lemah ditekan, yang kecil dipijak sedangkan projek mega bernilai bilion ringgit terus diberi laluan.

“Rakyat memilih kerajaan untuk membela, bukan membuli. Untuk melindungi, bukan menakut-nakutkan. Untuk memakmurkan, bukan membebankan,” ujarnya.

Ustaz Fauzi menegaskan sudah tiba masanya kerajaan negeri berhenti membuli, dan kembali kepada tadbir urus yang adil, beramanah dan menghormati semua termasuk pembangkang, penjawat awam dan rakyat biasa.

Beliau mengingatkan bahawa rakyat Pulau Pinang berhak kepada sebuah kerajaan yang mendengar, menyelesaikan masalah, dan memakmurkan negeri tanpa pilih kasih. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -