MAINPP cetus kecoh, diseru pulangkan hak anak qaryah

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN–Sungai Dua) menyuarakan kebimbangan serius berhubung kaedah pemilihan jawatankuasa masjid baharu yang dikendalikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa proses pemilihan yang dilaksanakan MAINPP telah mencetuskan kekecohan apabila hak ahli qaryah untuk memilih kepimpinan masjid seakan-akan dinafikan.

“Ahli qaryah lebih layak memilih kerana merekalah yang paling mengenali individu yang berkelayakan untuk memimpin serta mengimarahkan masjid,” katanya.

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang itu berkata, proses pemilihan sebelum ini berjalan baik tanpa sebarang masalah, namun campur tangan langsung MAINPP telah mewujudkan suasana tidak harmoni dan menjejaskan objektif sebenar pengimarahan masjid.

Beliau mendesak agar garis panduan sedia ada disemak semula, dengan menegaskan bahawa MAINPP sewajarnya berperanan sebagai pemantau, bukan mengambil alih proses pemilihan.

Selain itu, beliau menegur sikap MAINPP yang didakwa diam membatu sedangkan isu besar seperti semakin ramai umat Islam meninggalkan solat Jumaat memerlukan perhatian drastik.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Dalam penegasan lainnya, Ustaz Muhammad Fauzi meminta supaya Laporan Kewangan Tahunan MAINPP dibekalkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muslim sebagai hak asas untuk memastikan ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Pesuruhjaya PAS Negeri itu turut mengkritik prestasi Penang FC, yang terus mengalami kemerosotan meskipun kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta setahun kepada kelab tersebut.

Daripada lapam perlawanan Liga Super, Penang FC hanya mencatat satu kemenangan, manakala dua pemain import Lim In Kyu (Korea Selatan) dan Limbikani Oscar Mzava (Malawi) dilapor gagal beraksi apabila tidak mencapai standard permainan.

“Adakah pemain-pemain ini dipilih melalui aplikasi Shopee?” soalnya sinis.

Dalam Piala Presiden, Penang FC 2 hanya menang sekali daripada 20 perlawanan dan menduduki tangga terakhir dan bagi Piala Belia, Penang FC 3 berada di tangga ke-8 dengan hanya lapan kemenangan daripada 26 perlawanan.

Beliau mencadangkan supaya pengurusan Penang FC dirombak bagi memperbaiki prestasi dan mengembalikan maruah bola sepak negeri.

Ustaz Muhammad Fauzi turut menuntut penjelasan berhubung jumlah lawatan luar negara yang dilakukan oleh Ketua Menteri serta barisan Exco sepanjang tahun ini, termasuk kos terperinci dan hasil sebenar yang berjaya dibawa pulang.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui sama ada lawatan tersebut membawa pelaburan nyata atau sekadar program tanpa pulangan strategik.

Beliau mengingatkan amaran pernah disebut Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, ‘Berbelanja bukan sekadar soal angka, tetapi soal amanah, setiap sen mesti memberi pulangan kepada rakyat dan masa depan negara’. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -