
GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menegur kerajaan negeri kerana masih gagal menangani isu banjir secara menyeluruh meskipun beberapa projek tebatan telah diumumkan dalam Bajet 2026.
Katanya, kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi projek tebatan di Sungai Sanglang dan RM5.1 juta di Permatang Rawa, namun mengingatkan bahawa realiti banjir di Pulau Pinang jauh lebih serius daripada skala projek kecil sedemikian.
“Banjir di negeri ini bukan lagi situasi luar biasa. Ia kini fenomena tetap. Setiap kali hujan lebat, seluruh komuniti bimbang pintu rumah mereka akan dibanjiri air,” tegas beliau.
Menurutnya, masalah banjir hari ini menuntut pendekatan komprehensif, berskala besar dan merentas daerah, bukan sekadar penaiktarafan saliran kecil-kecilan mengikut lokaliti.
Muhammad Fauzi (PN–Sungai Dua) turut menyentuh inisiatif Penang Nature-Based Climate Adaptation Programme (PNBCAP) yang memfokuskan penghijauan bandar dan Nature-Based Solutions.
Walaupun mengakui langkah itu baik, beliau menegaskan bahawa penghijauan sahaja tidak memadai jika punca sebenar banjir seperti sistem saliran lama, pembangunan padat dan kehilangan kawasan resapan tidak diselesaikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 di Dewan Undangan Negeri semalam.
Ustaz Fauzi menarik perhatian Dewan bahawa kerajaan negeri memberi tumpuan terlalu besar kepada projek mega termasuk PIL2A yang bernilai RM389 juta, pembangunan pesisir dan projek infrastruktur besar lain.
“Rakyat di akar umbi terus berdepan banjir, tetapi projek mega mendapat bahagian perbelanjaan terbesar,” tegas beliau.
Pesuruhjaya PAS Negeri itu turut mempersoalkan risiko banjir yang mungkin meningkat kesan pembangunan projek transit aliran ringan (LRT) yang melibatkan jejambat panjang, kerja tanah besar-besaran dan perubahan aliran air.
“Adakah kajian risiko banjir dibuat secara menyeluruh? Apakah pelan mitigasi banjir yang disepadukan dengan pembinaan LRT?” soalnya.
Menurut beliau, laluan LRT merentasi kawasan padat dan rendah yang sememangnya sudah berisiko tinggi terhadap banjir kilat, justeru penilaian risiko yang rapi adalah wajib sebelum projek diteruskan.
Ustaz Fauzi menggesa kerajaan negeri membangunkan satu Pelan Tebatan Banjir Negeri yang bersifat menyeluruh, berpandukan sasaran jelas, jadual pelaksanaan, dan laporan pemantauan tahunan.
“Isu banjir bukan masalah satu kawasan. Ini masalah seluruh negeri. Kita perlukan perancangan setara dengan skala cabaran,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa selagi tumpuan kerajaan lebih berat kepada projek mega berbanding keselamatan rakyat, Pulau Pinang akan terus berada dalam kitaran banjir yang memeritkan rakyat. – HARAKAHDAILY 18/11/2025











