Tekad memartabat pendidikan, majlis ilmu di Merotai

Hasan Haris bersama Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam aktiviti menyantuni masyarakat.
- Advertisement -

KALABAKAN: Pendidikan serta majlis ilmu menjadi teras utama perjuangan calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Hasan Haris.

- Advertisement -

Beliau menegaskan komitmen tersebut apabila diberikan mandat oleh rakyat pada PRN kali ini.

“Banyak perkara yang perlu saya lakukan tetapi salah satu keutamaan saya jika menang di Dun Merotai adalah memberi keutamaan dalam pendidikan di sekolah dan mengimarahkan majlis ilmu di masjid-masjid di sekitar Merotai.

“Saya ingin memastikan setiap anak Merotai mempunyai akses ke sekolah,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik masyarakat perlu diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan masa depan sosioekonomi penduduk di Merotai.

Tambahnya, pendidikan adalah kunci kepada perubahan sosioekonomi sesebuah keluarga.

“Saya melihat pendidikan sebagai keutamaan yang mesti dijaga dan diperkasakan setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, setiap anak Merotai berhak mendapat akses pendidikan yang baik tanpa mengira latar belakang, kerana pendidikan adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang berdaya saing.

“Mahupun mengambil masa yang panjang, tetapi perubahan itu mampu mengubah nasib masyarakat. Kita mahukan masyarakat yang berilmu dan beradap sesuai untuk menghadapi cabaran di masa mendatang,” katanya lagi.

Hasan turut menegaskan bahawa lahirnya lebih ramai golongan profesional dalam kalangan anak muda Merotai bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Dengan ilmu juga, insya-Allah bakal lahir lebih ramai golongan profesional dari Merotai, dan kehadiran mereka kelak mampu memacu ekonomi negara,” ujar beliau dengan penuh harapan.

DUN Merotai mempunyai 26,179 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November 2025.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -