
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akhirnya akur dengan desakan rakyat Sabah apabila memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak 40 peratus hasil negeri itu.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan pada Selasa, 11 November, selepas berdepan tekanan hebat dan bantahan berterusan daripada rakyat Sabah berikutan tindakan awal untuk mencabar keputusan mahkamah.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Sabah berhak terhadap 40 peratus hasil dari wilayahnya, dan menyifatkan pemberian khas sedia ada sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Pengamal media bebas, Putra Ibnu Janie, di Facebook beliau menulis bahawa tindakan awal Kerajaan Persekutuan untuk merayu telah mencetuskan kemarahan besar.
Menurut beliau, bantahan itu begitu serius sehingga menyebabkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, meletakkan jawatan kabinet dan membawa UPKO keluar dari PH.
Putra menambah, kemarahan itu turut dizahirkan secara terang-terangan oleh rakyat biasa semasa lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Sabah baru-baru ini.
”Rakyat biasa Sabah tanpa rasa takut dan malu terus menempelak PM depan-depan muka tentang hak 40 peratus hasil Sabah ini,” tulisnya.
Beliau turut merujuk kepada video tular perbualan PMX dengan sekumpulan rakyat Sabah, di mana Perdana Menteri menerangkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membayar RM17 bilion kepada Sabah tahun ini berbanding hasil RM10 bilion yang dikutip.
Namun, menurut Putra, ‘fakta’ yang kemudiannya menjadi naratif ‘caitro-caitro PHBN’ itu gagal meredakan kemarahan rakyat.
”Jika ikut logik akal sepatutnya jumlah RM17 bilion yang diberi sepatutnya meredakan kemarahan rakyat Sabah kerana ia jauh lebih banyak dari yang sepatutnya.
”Namun rakyat Sabah cerdik, rakyat Sabah tahu bahawa peruntukan sebesar RM17 bilion itu bukan sesuatu yang pasti akan diterima secara konsisten setiap tahun, ini ditambah lagi dengan tahun ini adalah tahun Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah di mana peruntukan itu sudah pastilah satu gula-gula pilihan raya,” jelasnya.
Tegasnya, rakyat Sabah lebih mahukan sesuatu yang ditentukan oleh undang-undang berdasarkan keputusan mahkamah, berbanding pemberian yang ‘bergantung kepada ehsan atau mood Kerajaan Persekutuan.’
Putra berpendapat, Kerajaan PH-BN sememangnya ‘tersepit’ dengan isu ini.
Sekiranya rayuan diteruskan, beliau percaya PH-BN akan berada ‘dalam kedudukan paling bahaya dengan rakyat Sabah mungkin akan menghumban parti gabungan itu ke Laut Sulu.’
Namun, jika dilaksanakan, ia akan memberi impak kewangan yang sangat besar kepada Persekutuan, apatah lagi jika tunggakan sejak 1974 perlu dibayar.
”Dan sekarang ini mereka sendiri yang tersepit akibat mulut manis banyak berjanji tetapi apabila melihat pada realiti baru mereka tahu ia ada kesan besar kepada negara.
”Apa-apa pun respect (hormat) rakyat Sabah, Rakyat Sabah memang cerdik dan tidak mudah ditipu, rakyat Sabah tolak PH-BN dan pilihlah PERIKATAN NASIONAL pada pilihan raya kali ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/11/2025




















