​’Apa yang dirasai Sabah, Kelantan sudah lama alami’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apa yang dirasai rakyat di Sabah ketika ini berhubung layanan Kerajaan Persekutuan sebenarnya sudah lama dialami oleh rakyat Kelantan, yang sering dihina dan dilabel dengan pelbagai tohmahan negatif sejak dahulu lagi.

Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, Kelantan sering dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan dan tiada pembangunan, walhal hakikatnya tidak sedemikian.

- Advertisement -

​“Sudah tentu ada rakyat Kelantan yang berkecil hati. Kerana di Kelantan juga ada pembangunan. Bukan seperti padang jarak padang tekukur. Perniagaan orang Kelantan sentiasa rancak. Ramai sahaja peniaga Kelantan yang telah berjaya. Namun, label kemunduran ini terus-terusan diberikan,” tulisnya di Facebook.

​Beliau turut membangkitkan bagaimana Kelantan sentiasa menjadi tajuk utama masalah jenayah, seolah-olah seluruh rakyatnya terlibat dengan dadah atau jenayah sehingga digambar seperti ‘failed state’.

​“Walhal, di Kelantan, Islamnya subur. Pengajian agama dan maahad tahfiz tumbuh melata. Masjid menjadi pusat masyarakat. Entah kenapa, budaya Islam yang ada tidak ditonjolkan. Yang dilabelnya ialah ‘lebai kuat seks’ dan ‘lebai pil kuda’,” tegasnya.

​Yusfarizal juga merujuk kepada label ‘negara Taliban’ yang sering digunakan oleh Nga Kor Ming, yang disifatkannya membawa persepsi buruk seolah-olah rakyat Kelantan memusuhi bukan Islam.

​“Walhal orang bukan Islam gembira tinggal di Kelantan. Sudah tentu mereka juga terasa. Sehingga ada yang bangkit mempertahan. Mundur, banyak jenayah dan taliban ini sudah jadi semacam label rasmi Kelantan. Jahat sebenarnya.

​“Justeru, kenapa hairan kalau orang Kelantan tetap menyokong PAS? Kerana mereka muak dengan label dan persepsi orang luar. Mereka bahagia sahaja dengan Kerajaan PAS,” tambahnya.

​Menurut beliau, situasi yang sama kini dirasai oleh rakyat Sabah, di mana hasil mahsul negeri itu dinafikan hak mereka, pembangunan tidak seimbang dan yang di atas terus mengaut kekayaan manakala yang di bawah keciciran.

​Katanya, tidak hairan mengapa rakyat Sabah tegas menuntut hak 40 peratus Pemberian Khas, sama seperti Kelantan yang tegas menuntut royalti.

​“Sudahlah tidak diberikan hak, dilabel pula dengan pelbagai label. Apa nak jadi dengan Malaysia ini? Seharusnya, kerajaan memastikan keseimbangan ekonomi kepada semua negeri. Tiada diskriminasi. Bukankah semua anak kamu?” soalnya.

​Beliau berkata, episod ‘roti gardenia’ harus menjadi pengajaran, namun apa yang lebih penting adalah kesenjangan ekonomi dan hala tuju konsep federalisme negara yang disifatkannya ‘compang-camping’.

​“Sudahlah. Hentikanlah politik begini. Jagalah perasaan rakyat dan semua warganegara. Akhirnya, kita semua anak Malaysia sejak 1963,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -