Pulau Pinang alami krisis tunai, akaun negeri tenat

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua), membangkitkan kebimbangan serius terhadap kedudukan kewangan negeri ekoran kemerosotan drastik aliran tunai dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu menegaskan bahawa angka-angka rasmi daripada Penyata Kewangan Negeri menunjukkan trend amat membimbangkan dan menuntut penjelasan segera daripada kerajaan negeri.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) DUN Pulau Pinang, Akaun Hasil Disatukan negeri menunjukkan penurunan aliran tunai yang amat ketara.

“Sebanyak RM1.15 bilion pada tahun 2019, menurun kepada RM887 juta pada tahun 2020, RM848 juta pada tahun 2021, RM688 juta pada 2022, RM330 juta pada tahun 2023 dan jatuh merudum kepada RM155 juta pada tahun 2024.

“Mengapa ini berlaku? Dalam tempoh lima tahun sahaja, kewangan negeri merosot hampir 90 peratus?” soal beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, ketika membahas Belanjawan 2026 Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa Ketua Menteri sendiri sebelum ini menyatakan unjuran aliran tunai pada awal 2025 hanya berbaki RM50 juta, sehingga kerajaan negeri terpaksa memohon pendahuluan RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan risiko kekurangan tunai.

Ustaz Fauzi turut mempersoalkan mekanisme bayaran balik pendahuluan RM100 juta itu yang dibuat secara potongan geran Persekutuan selama tiga tahun berturut-turut iaitu tahun 2027 sebanyak RM33 juta, tahun 2028 RM33 juta dan tahun 2029 RM34 juta.

“Potongan geran bermaksud hasil negeri akan berkurang selama tiga tahun, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada bajet mengurus dan pembangunan,” tegas beliau menyatakan bahawa langkah ini akan memburukkan lagi masalah kewangan negeri yang sudah sedia tenat.

Sebagai jalan penyelesaian struktur, Ketua Pembangkang menggesa kerajaan negeri menyediakan pelan kewangan lima tahun yang jelas, bagi memastikan masalah kewangan diselesaikan tanpa membebankan rakyat.

Namun beliau mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan menaikkan hasil cukai tanah daripada RM124 juta (2025) kepada RM210 juta (2026), peningkatan hampir 69 peratus hanyalah cara mudah untuk menampung kegagalan pentadbiran.

Dalam isu cukai tanah, Ustaz Fauzi menegaskan bahawa rakyat bawahan kini terhimpit dengan beban kos hidup.

“Pesawah sudah menanggung kos input pertanian yang meningkat. Kini ditambah pula dengan kenaikan cukai tanah,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pemilik lot kecil di kampung tradisi berisiko menghadapi tunggakan cukai, tindakan undang-undang dan kehilangan tanah warisan jika gagal membayar dalam jangka panjang.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan negeri pernah menjalankan analisis impak sosioekonomi secara menyeluruh sebelum menaikkan kadar baharu.

Ustaz Fauzi turut mendedahkan peningkatan sangat besar pada tunggakan hasil negeri daripada RM91 juta pada tahun 2023 kepada RM294 juta pada tahun 2024.

Beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan faktor yang menyebabkan peningkatan lebih 223 peratus itu serta langkah pemulihan yang akan diambil.

“Kita tidak mahu kelemahan kutipan hasil dijadikan alasan untuk menaikkan lagi cukai,” tegasnya.

Ketua Pembangkang juga membangkitkan persoalan mengenai lonjakan 703 peratus Perbelanjaan Lain pada 2026, berpunca daripada komitmen RM10 juta setahun bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di bawah penstrukturan semula perkhidmatan air.

“Apakah justifikasi komitmen sebesar itu? Berapa tahun Pulau Pinang perlu membayar RM10 juta setiap tahun? Apakah manfaat sebenar kepada rakyat? Adakah komitmen jangka panjang ini akan menambah tekanan kepada bajet negeri?” soal beliau.

Ustaz Muhammad Fauzi mengulangi gesaan agar kerajaan negeri menampilkan ketelusan dan perancangan kewangan yang tersusun.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Pulau Pinang berhak mengetahui punca kemerosotan kewangan yang begitu besar dan apakah strategi sebenar kerajaan negeri untuk memastikan masa depan negeri tidak terus dibebani hutang, cukai meningkat, dan aliran tunai yang semakin menguncup. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -