P Pinang di ambang krisis mobiliti, PTMP perlu realistik

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pulau Pinang kini berada ‘di ambang krisis mobiliti’ apabila jumlah kenderaan meningkat pada kadar yang membimbangkan, jauh mengatasi kemampuan infrastruktur semasa.

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) mendedahkan data Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) yang menunjukkan negeri itu mencatat 2.67 juta kenderaan setakat Oktober 2024.

Iaitu bentangnya, ia terdiri daripada 1.52 juta motosikal dan 1.15 juta kereta persendirian, iaitu hampir dua kenderaan bagi setiap penduduk, di mana pada 2022 jumlah kenderaan adalah 2.65 juta, meningkat kepada 2.68 juta pada 2023 dan terus melonjak pada 2024.

- Advertisement -

“Hakikatnya, rakyat setiap hari terperangkap, menanggung kerugian masa, petrol dan tekanan psikologi akibat trafik yang tidak berkesudahan,” ujar Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang itu.

Beliau berucap demikian dalam perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Mengulas Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), Ustaz Fauzi berkata, walaupun kerajaan mengekalkan sasaran penggunaan pengangkutan awam 40 peratus berbanding 60 peratus kenderaan persendirian menjelang 2030, realitinya negeri masih jauh daripada sasaran itu.

“Persoalan asas mesti dijawab, adakah sasaran 40:60 ini benar-benar realistik atau sekadar aspirasi tanpa pelan tindakan jelas?” katanya sambil mengingatkan bahawa pelan pengangkutan yang tidak mengambil kira realiti hanya akan ‘menggantung harapan palsu’ kepada rakyat.

Pesuruhjaya PAS Negeri itu turut menyentuh projek transit aliran ringan atau LRT Mutiara, salah satu komponen utama PTMP yang telah diluluskan dan sedang berjalan.

“Kita mahu pastikan pelaksanaannya menepati masa dan bajet, serta tidak menjadi liabiliti kewangan kepada negeri. Kita tidak mahu transit aliran ringan (LRT) menjadi satu lagi projek gajah putih. Jangan sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’,” tegas beliau.

Menurutnya, LRT dengan 20 stesen itu hanya meliputi empat kawasan parlimen iaitu Bayan Baru, Jelutong, Bukit Gelugor dan Tanjong manakala Seberang Perai hanya menerima satu hentian di Penang Central.

“Parlimen lain seperti Balik Pulau, Bukit Bendera, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan serta kawasan luar bandar langsung tidak termasuk dalam fasa awal ini. Tetapi seluruh negeri akan menanggung kos pembangunan,” jelasnya.

Beliau turut menuntut penjelasan tentang 236 lot tanah yang bakal terlibat dalam pengambilan tanah untuk LRT.

“Kerajaan perlu nyatakan lokasi terperinci lot ini, serta berapa ramai penduduk, perniagaan dan bangunan yang akan terkesan. Bagaimana pula dengan kajian impak sosial (SIA)?” soalnya.

Ustaz Fauzi turut membangkitkan persoalan jumlah tenaga kerja asing dan tempatan dalam projek tersebut serta lokasi penempatan mereka.

“Saya menegaskan penolakan terhadap cadangan pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar. Baru-baru ini saya menerima memorandum bantahan daripada pelbagai pihak,” tambahnya.

Mengulas lebuh raya baharu seperti Pan Island Link (PIL1) dan Jalan Pintasan Ayer Itam–LCE, beliau menegaskan bahawa pengalaman global membuktikan lebuh raya bukan penyelesaian jangka panjang.

“Lebih banyak jalan dibina, lebih banyak kenderaan akan memenuhi jalan itu. Soalnya, jika lebuh raya lebih cepat daripada LRT, adakah rakyat akan beralih kepada pengangkutan awam? Jika LRT gagal menarik penumpang, ia akan menjadi beban kewangan kepada negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkhidmatan Rapid On Demand (ROD) yang diperkenalkan kerajaan negeri.

“Kita menghargai langkah ini, tetapi saya mencadangkan satu bentuk perjalanan ROD yang khusus untuk membawa rakyat terus ke pusat pentadbiran kerajaan dan hospital tanpa laluan panjang atau banyak hentian,” katanya.

Menurut beliau, laluan khas ini akan memberi manfaat besar kepada warga emas, pesakit, penjawat awam, peniaga dan rakyat yang perlu berurusan tanpa dibebani isu parkir dan kesesakan. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -