
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri tidak boleh terus melihat projek mega seperti Penang South Islands (PSI) dan Pulau Andaman sebagai sekadar projek pembangunan fizikal, sedangkan impaknya menyentuh kehidupan sebenar rakyat Pulau Pinang.
Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN–Sungai Dua) menuntut jaminan ketelusan serta penjelasan terperinci berhubung implikasi sosial, pemindahan penduduk, pengambilan tanah, serta pulangan sebenar kepada kerajaan negeri dalam kedua-dua projek berimpak besar itu.
Menurut beliau, projek PSI tidak boleh dilihat sebagai projek menambak laut semata-mata kerana kesannya menjalar hingga ke kawasan daratan berhampiran.
“PSI bukan hanya membentuk pulau buatan di tengah laut, tetapi memberi kesan terus kepada tanah, rumah dan komuniti yang berada di kawasan sekitarnya,” tegas beliau ketika brucap dalam sesi Perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang, semalam.
Katanya, pembangunan infrastruktur sokongan termasuk jalan, jambatan kekal, utiliti serta perubahan guna tanah telah menimbulkan kebimbangan penduduk, terutama kampung-kampung tradisi yang terdedah kepada risiko pemindahan dan kehilangan identiti setempat.
Merujuk PIL 2A Fasa 1 sepanjang 1.5 kilometer dengan kos RM389 juta, beliau menuntut kerajaan negeri menyatakan dengan jelas jumlah keseluruhan lot tanah yang terlibat, kuantiti rumah yang telah diambil dan dipindahkan serta jumlah pampasan keseluruhan, termasuk pampasan bangunan, premis perniagaan dan ex-gratia tambahan.
Ustaz Faizi menegaskan, rakyat berhak tahu bentuk pampasan sebenar serta keadilan yang diterima penduduk terkesan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang itu turut mempersoalkan ketelusan projek Pulau Andaman, yang digambarkan sebagai ikon pembangunan baharu tetapi tidak disertai pendedahan penuh kepada umum.
Beliau menyenaraikan tiga soalan penting iaitu kos sebenar keseluruhan projek, termasuk kos penambakan, infrastruktur awam, jambatan dari Gurney Drive dan kos penyenggaraan jangka panjang.
Juga soal beliau, adakah audit bebas dilakukan terhadap laporan SIA, EIA dan analisis kos fiskal serta berapakah pendapatan sebenar kerajaan negeri, termasuk premium tanah, caj pembangunan, hasil cukai masa depan serta nilai infrastruktur yang diserahkan pemaju.
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri itu, sebuah projek sebesar 760 ekar wajar dijelaskan dengan telus kerana rakyat berhak tahu sama ada negeri benar-benar mendapat pulangan yang setimpal atau sekadar menjadi pemerhati dalam pembangunan berskala besar ini.
Dalam isu perumahan, beliau berkata rakyat sudah lali dengan angka besar yang sering diumumkan kerajaan negeri, tetapi realitinya golongan B40 dan M40 muda masih tidak mampu memiliki rumah.
“Harga ‘mampu milik’ yang ditetapkan kerajaan negeri masih jauh daripada kemampuan gaji bulanan rakyat,” ujar beliau mengemukakan cadangan Pelan Perumahan Khas Belia yang meliputi Rumah Belia (had umur 25–35 Tahun), harga antara RM120,000 – RM180,000 mengikut lokasi dan Skim Sewa-Milik (Rent-to-Own).
Bagi membantu belia yang masih belum mampu menyediakan deposit 10 peratus, Ustaz Fauzi mencadangkan agar di wujudkan Perumahan Transit Belia yang berunit kecil dan selesa di kawasan strategik seperti Bayan Lepas, Batu Kawan, Seberang Jaya dan Kepala Batas.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan ‘Dana Deposit 10 peratus’ untuk belia berpendapatan rendah dan akan dibayar semula selepas tempoh tertentu.
Beliau menegaskan bahawa skim seperti ini bukan hanya membantu anak muda memulakan kehidupan, tetapi mengekalkan tenaga kerja mahir agar tidak berhijrah keluar dari Pulau Pinang kerana tekanan kos hidup.
Ustaz Muhammad Fauzi turut menuntut kerajaan negeri memastikan setiap projek perumahan rakyat dinilai secara berkala.
“Projek perumahan rakyat perlu dinilai secara berkala, berapa unit benar-benar siap, berapa unit benar-benar diberikan kepada rakyat, dan sejauh mana lokasi rumah itu menyediakan akses kepada pengangkutan, sekolah, kesihatan dan peluang pekerjaan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan supaya dasar perumahan bebas daripada manipulasi harga dan spekulasi, agar rumah kekal sebagai keperluan rakyat bukan komoditi pelaburan semata-mata.
“Pembangunan mesti berpihak kepada rakyat,” tegas beliau sambil menyatakan bahawa Bajet 2026 perlu memastikan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang menjadi keutamaan, bukan sekadar mengejar projek-projek mega yang menguntungkan segelintir pihak. – HARAKAHDAILY 18/11/2025











