Perlu peruntukan khas TVET, atasi isu banjir Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa menyediakan peruntukan khusus bagi menampung yuran penilaian serta latihan persediaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

​Jefri Mejan (PN-Ijok) berkata, langkah ini penting bagi membuka peluang lebih besar kepada ribuan pekerja berkemahiran di negeri ini yang tidak mempunyai kelayakan formal untuk diiktiraf.

- Advertisement -

​Menurutnya, tumpuan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini masih terikat kepada laluan konvensional, sedangkan ramai rakyat Selangor sudah bekerja bertahun-tahun dalam sektor teknikal tetapi terhad dari segi mobiliti sosial dan gaji akibat ketiadaan sijil.

​“Laluan PPT adalah _high impact, low cost_, dan terbukti menjadi jalan terpantas mengangkat taraf tenaga kerja sedia ada, selari dengan aspirasi negeri untuk melahirkan tenaga mahir melalui pendekatan fleksibel dan inklusif.

​“Pelaburan kecil ini mempunyai impak yang besar. Ia bukan sahaja mengiktiraf kemahiran rakyat Selangor, malah membantu mereka meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kelompok B40,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

​Menyentuh mengenai kelestarian alam sekitar, Jefri mencadangkan kerajaan negeri mengadaptasi konsep ‘Make Room For Water’ iaitu memberi ruang kepada sungai melimpah secara terkawal di dalam rizabnya bagi mengatasi isu banjir di Sungai Buloh.

​Jelasnya, pendekatan yang berjaya dilaksanakan di Belanda dan Thailand itu perlu melibatkan pemulihan rizab sungai di kawasan hulu serta mengembalikan fungsi dataran banjir sebagai kawasan tadahan semula jadi.

​“Saya tegaskan bahawa banjir bukan semata-mata berpunca daripada hujan lebat, tetapi daripada kegagalan mengurus aliran air dari hulu ke hilir, khususnya di sepanjang Sungai Buloh.

​“Punca utamanya adalah pencerobohan rizab sungai, timbunan sampah yang mendapar dan hilangnya fungsi ‘floodplain’,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 yang kini telah menerima lanjutan masa (EOT) sebanyak empat kali.

​“Kita tidak mahu wujudkan keperluan EOT yang kelima yang pastinya akan menambah tekanan dan kebimbangan rakyat, lebih-lebih lagi kini berada di penghujung tahun memasuki musim tengkujuh.

​“Setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Ijok dihantui ketakutan banjir berulang,” tegasnya.

​Sementara itu, Jefri turut membangkitkan isu peningkatan mendadak penggunaan vape dalam kalangan remaja di Selangor yang meningkat daripada 1.1 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).

​Beliau mempersoalkan ketiadaan peruntukan khusus dalam Belanjawan 2026 untuk menangani wabak ini dan menggesa langkah pengharaman serta dana khas bagi membasmi ketagihan tersebut.

​Selain itu, beliau merayu agar elaun petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang kini hanya RM1,200 disemak semula agar setimpal dengan beban tugas menjaga anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU).

​“Jika kita benar-benar mahu menjadi negeri penyayang, PPDK mesti diberi keutamaan. Naik taraf fasilitinya yang sempit, tingkatkan kebajikan petugasnya dan wujudkan laluan masa depan kerjaya yang jelas untuk golongan OKU,” katanya lagi.

​Beliau turut menyentuh isu setempat termasuk masalah voltan elektrik rendah, liputan internet, gangguan monyet liar serta keperluan pembangunan perumahan lestari di Bandar Bestari Jaya. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -