Hulu Bernam tidak bangun sewajarnya, terus terpinggir

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor disaran memberi perhatian serius terhadap ketidakseimbangan pembangunan ekonomi yang menyebabkan kawasan Hulu Bernam terus tertinggal berbanding daerah-daerah jiran yang lain.

Mu’izzudden Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) berkata, walaupun Belanjawan Selangor 2026 menekankan projek Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan (IDRISS) dan hab automotif di Kuala Kubu Bahru serta Serendah, tetapi Hulu Bernam tidak menerima sebarang limpahan ekonomi yang signifikan.

- Advertisement -

​“Kesan daripada ketidakseimbangan ini sangat jelas sehingga ramai anak muda Hulu Bernam terpaksa berhijrah atau berulang-alik lebih 80 kilometer setiap hari ke Tanjung Malim dan Behrang untuk bekerja di kilang Proton atau bakal kilang BYD.

​“Hulu Bernam tidak miskin potensi. Kita ada destinasi eko-pelancongan, air terjun, hutan simpan dan dusun durian yang boleh mewujudkan ratusan peluang kerja jika ada perancangan strategik, namun sehingga kini tiada pembangunan signifikan dirangka,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

​Mu’izzudden turut memetik data jurang pendapatan yang ketara di mana purata pendapatan penduduk Sepang mencecah RM16,000 manakala di Sabak Bernam dan Hulu Selangor hanya sekitar RM8,000 hingga RM9,000 akibat kekurangan peluang kerja bernilai tinggi.

​Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai pembangunan pusat data yang memakan sumber tenaga dan air tinggi namun menawarkan peluang pekerjaan terhad kepada rakyat tempatan.

​“Berdasarkan pengalaman negara luar, pusat data sebesar padang bola sepak mungkin hanya menggajikan sembilan orang kakitangan.

​“Dengan jangkaan kemarau pada 2026, adakah kerajaan negeri bersedia dari segi rizab air dan tenaga? Pusat data menggunakan kapasiti air yang banyak untuk sistem penyejukan yang akhirnya dilepaskan ke sungai dan berisiko mengancam habitat akuatik,” soalnya.

​Menyentuh isu kos sara hidup, Mu’izzudden mencadangkan agar kadar Bantuan Tunas dan Bantuan Asuh dinaikkan bagi meringankan beban ibu bapa yang berdepan kenaikan yuran pendidikan awal kanak-kanak.

​Jelasnya, yuran tadika kini mencecah RM150 hingga RM350 sebulan, manakala taska antara RM450 hingga RM900, menjadikan bantuan sedia ada (RM50 dan RM100) tidak lagi memadai.

​“Saya mencadangkan Bantuan Tunas dinaikkan kepada RM100 dan Bantuan Asuh kepada RM150.

​“Had kelayakan pendapatan isi rumah juga wajar dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 atau RM7,500 supaya golongan M40 yang terhimpit di kawasan bandar turut layak menerima manfaat ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -