
SEPANGGAR: Naib Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata negri ini terus mundur dan berada di belakang berbanding negeri-negeri lain disebabkan faktor besar iaitu rasuah dan salah guna kuasa.
“Sabah yang sudah merdeka sejak pembentukan Malaysia pada 1963, lebih 60 tahun lalu, tetapi apabila kita berjalan di negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung Malaysia, kita tidak menemui jalan raya seumpama di Sabah kerana jalan raya di negeri ini masih berada dalam keadaan tidak sempurna meskipun sudah lebih 60 tahun,” katanya.
Beliau yang juga calon PN bagi kerusi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berkata, ketika menziarahi kampung-kampung di Karambunai, sebahagian besar masyarakat tempatan yang mendiami tanah-tanah di negeri ini masih berada dalam tanah setinggan yang belum digazetkan sejak 50 hingga 60 tahun lalu.
“Sudah masuk generasi ketiga, tetapi setiap kali pilihan raya, ada ahli politik datang dan berjanji akan menggazetkan tanah milik penduduk, namun masuk penggal kedua mereka memohon maaf dan menangguhkan lagi, sedangkan rakyat Sabah sebenarnya bijak dan sudah cukup ditipu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Karambunai Kasi Jadi di Padang Taman Sepanggar, malam tadi, yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan ADUN Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor.
Menurut Dr Aliakbar lagi, kampung-kampung sekitar Karambunai merupakan kampung tradisi yang didiami masyarakat tempatan dan berada dalam zon pembangunan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, menyebabkan kampung-kampung tersebut semakin terhimpit oleh pembangunan hingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk.
“Sebahagian masyarakat di sini ialah nelayan yang semakin terhimpit dan tidak mempunyai ruang untuk mencari rezeki sedangkan laut merupakan sumber makanan serta punca kehidupan keluarga mereka, malah ada antara mereka kini diancam oleh pembangunan yang berlaku.
“Sebab itu saya menyebut dalam Dewan Undangan Negeri dan di luar dewan bahawa kita akan berusaha mengangkat kampung-kampung tradisi di Karambunai sebagai kampung warisan yang tidak boleh ditelan pembangunan selama-lamanya,” ujar beliau.
Bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu menambah, sebahagian isu sebelum ini hanya berkisar pada janji yang tidak ditunaikan.
“Banyak perkara yang boleh kita lakukan di Karambunai, terlalu banyak perjuangan yang boleh kita bawa, tetapi sebahagian isu sebelum ini hanya berkisar pada janji yang tidak ditunaikan, malah ada parti yang pernah memerintah meminta diberi setahun namun mereka memerintah lebih dua tahun pada siri yang lepas.
“Maka rakyat Sabah tidak boleh terus dibohongi, kerana kita membawa politik yang benar, politik yang berakhlak, bernilai, amanah, integriti serta politik matang dan sejahtera,” tegasnya yang juga ADUN Lantikan pada penggal lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 17/11/2025




















