AS mahu Malaysia adakan sekatan ke atas negara ketiga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia –  Amerika Syarikat ditandatangani baru-baru ini mengandungi klausa-klausa yang berpotensi menjejaskan kedaulatan negara, kata Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

Beliau berkata, Klausa 5.1 dan 5.2 dikenal pasti sebagai peruntukan yang boleh memberi kesan langsung terhadap kebebasan negara dalam merangka dasar ekonomi dan keselamatan apabila ia mewajibkan Malaysia melaksanakan langkah dasar selari dengan tindakan Amerika Syarikat.

Menurutnya, klausa-klausa tersebut turut melibatkan kewajipan Malaysia untuk menguatkuasakan sekatan atau larangan terhadap negara ketiga yang menjadi sasaran dasar AS, selain bekerjasama dalam aspek kawalan eksport, sekatan ekonomi, serta penilaian pelaburan berasaskan keselamatan negara.

- Advertisement -

“Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menyemak transaksi dengan entiti yang disenaraikan oleh Jabatan Perdagangan dan Perbendaharaan AS. Secara tidak langsung, ini memberi ruang kepada pengaruh luar dalam menentukan dasar strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau lagi, keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap sejauh mana Malaysia masih mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju ekonomi, teknologi dan keselamatan tanpa tekanan kuasa asing.

Terdahulu, Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 Oktober lalu sebagai sebahagian usaha memperluas kerjasama ekonomi, keselamatan dan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Perbincangan mengenai kerjasama perdagangan, standard kawal selia, keselamatan teknologi dan ketelusan pelaburan menjadi antara elemen utama yang mencorakkan kerangka perjanjian tersebut.

Beberapa klausa teknikal turut membabitkan aspek keselamatan ekonomi, kepatuhan kawal selia serta tindakan dasar bersama antara negara terlibat.

Namun, perjanjian berkenaan turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan pemerhati dasar kerana sebahagian peruntukan dilihat berpotensi mempengaruhi keupayaan Malaysia menetapkan dasar sendiri.

Terutama apabila melibatkan tindakan unilateral Amerika Syarikat terhadap negara ketiga, korporat tertentu atau entiti yang diklasifikasikan sensitif dari sudut keselamatan.

Mengulas lanjut, Ustaz Ismi berkata ketiadaan mekanisme penyelesaian pertikaian dalam perjanjian itu merupakan satu kelemahan besar yang boleh memberi implikasi serius terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan setara.

Tanpa pihak pengantara, panel bebas atau prosedur dua hala katanya, Amerika Syarikat boleh bertindak sebagai penilai tunggal dalam menentukan tahap kepatuhan Malaysia terhadap perjanjian berkenaan.

“Ketiadaan mekanisme ini membuka ruang tindakan sepihak yang boleh merugikan Malaysia. Dalam keadaan ini, risiko ketidakseimbangan kuasa sangat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, perjanjian tanpa mekanisme pertikaian di peringkat antarabangsa sering dianggap berisiko kerana ia boleh menjejaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan antara negara penandatangan.

Ustaz Ismi turut menegaskan bahawa walaupun perjanjian seumpama itu mungkin menawarkan manfaat ekonomi jangka pendek, negara tidak boleh mengorbankan hak membuat keputusan secara bebas mengikut kepentingan nasional.

“Kedaulatan bukan sesuatu yang boleh diperdagangkan. Ia adalah asas kemerdekaan dan mesti dipertahankan tanpa kompromi,” ujarnya menyeru supaya dikaji semula keseluruhan perjanjian, termasuk menilai implikasi jangka panjang terhadap dasar luar, keselamatan ekonomi dan kebebasan Malaysia dalam membuat keputusan strategik.

Katanya, apa-apa bentuk kerjasama antarabangsa harus dibangunkan atas prinsip saling menghormati dan tidak boleh mengikat negara kepada kehendak kuasa besar. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -