
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menyalahgunakan imuniti parlimen untuk menghina seorang profesor wanita yang dihormati, disifatkan sebagai cerminan ‘kemiskinan intelektual’.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, tindakan mempersendakan tafsiran akademik mengenai warisan Melayu adalah perbuatan tidak menghormati golongan ilmuwan.
Beliau merujuk kepada kenyataan Syerleena yang mengejek tafsiran akademik dengan berkata, ‘seorang profesor Melayu berkata orang Melayu purba boleh terbang’ dan ‘orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu’, yang turut diterbitkan di laman web DAP Pulau Pinang.
Mengulas lanjut di laman Facebook beliau, Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, kenyataan akademik itu tidak sepatutnya diambil secara literal.
”Kenyataan-kenyataan akademik tersebut tidak pernah bertujuan untuk diambil secara literal. Ia mencerminkan refleksi ilmiah yang lebih luas mengenai imaginasi Melayu, penguasaan maritim, dan pandangan dunia spiritual, tema-tema yang berakar umbi dalam kesusasteraan Melayu klasik.
”Memperlekehkan penemuan akademik sedemikian bukan mencerminkan kekuatan intelektual, tetapi kemiskinan intelektual, dan ia adalah perbuatan tidak menghormati ahli akademik yang telah mendedikasikan hidup mereka demi mengejar ilmu,” tegasnya.
Tambah Bakri, reformasi minda yang sebenar mesti bermula dengan adab al-‘ilm (etika ilmu), di mana perbezaan pandangan disampaikan secara hikmah dan berhemah, bukan melalui ejekan.
Beliau memberi contoh bagaimana sastera klasik seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Sejarah Melayu menggunakan ungkapan simbolik seperti ‘terbang di angin’ atau ‘menyusup bumi’, yang melambangkan keberanian dan penerokaan dunia Melayu.
Justeru, Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Tangga Batu mencabar Ahli Parlimen tersebut untuk menggalakkan penyelidikan sejarah yang serius, bukannya memperlekehkan cendekiawan.
”Jika Ahli Parlimen itu benar-benar percaya kepada kecemerlangan akademik, beliau seharusnya menggalakkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membiayai penyelidikan sejarah yang serius mengenai asal-usul Pulau Pinang, hubungannya dengan Kesultanan Kedah, dan kaitan sejarahnya dengan Melaka dan Kepulauan Melayu yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menyimpulkan bahawa ejekan bukanlah satu bentuk reformasi.
”Ejekan bukan reformasi. Wacana yang berhemah adalah reformasi, untuk mengangkat intelek negara, kita mesti menghormati mereka yang berfikir, bukan dengan penghinaan tidak berasas atau ejekan,” simpulnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2025











